Rindu untuk bertandang di rumahMu Ya Allah..

Kini kita berada di ambang sepuluh hari-hari awal Zulhijjah. Beberapa hari lagi kita bakal menyambut Aidiladha iaitu Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Sementara mereka yang berada di tanah suci pastinya sedang menumpukan ibadah haji di baitullah dan ibadat-ibadat khusus yang lain untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Bagi mereka yang telah melaksanakan haji atau pernah melakukan umrah, tentu sekali menjadi rindu untuk kembali ke tanah haram tatkala mendengar laungan talbiah labbaikallah berkumandang di televisyen atau corong-corong radio. Dan bagi mereka yang belum pernah atau belum mampu menjejakkan kaki ke sana pastinya bercita-cita untuk hadir di rumah Allah yang mulia itu. Apapun, kita semua perlu memasang niat dan berusaha agar suatu hari nanti akan tiba jua di sana.

Sementara mereka di tanah suci menambah pahala dan menggondol pelbagai ganjaran dari ibadah haji, kita yang tidak dapat melaksanakan ibadah ini juga masih berpeluang mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda seperti mereka di sana. Cuma masih ramai antara kita yang tidak tahu akan kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang ditawarkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Antara hadis yang menyebut kelebihan hari-hari ini adalah:


مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهَا أَحَبُّ اِلَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ , يَعْنِى أَيَّامَ العَشْرِ . قَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ , وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيْلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيْلِ اللهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَ مَالِهِ ثُمَّ لمَ ْيَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ (رواه الجماعة إلا مسلما و النسائى عن ابن عباس رضي الله عنهما)
Maksudnya: “Tiada suatu hari dimana seorang beramal soleh di dalamnya lebih disukai Allah daripada hari-hari ini, iaitu sepuluh hari awal bulan Zulhijjah”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah? Jawab Rasul: “Walaupun jihad di jalan Allah, kecuali jika seorang keluar dengan jiwanya dan membawa semua hartanya serta tidak kembali dengan apa-apa”

(Hadis riwayat Jama’ah kecuali Muslim dan Nasa’i dari sahabat Abdullah bin Abbas R.A)

Dr. Wahbah Zuhaili menjelaskan tentang hadis di atas dalam kitabnya Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu dan berkata:

Lebih disukai pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sebelum tiba Hari Raya Aidiladha, untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan kebajikan. Di antaranya zikir kepada Allah, puasa, infaq atau bersedekah dan amalan-amalan baik yang lain. Ini kerana hari-hari tersebut adalah afdhalul ayyam (hari-hari yang paling baik).

Ada suatu kisah yang terjadi pada seorang ulama terkenal Abdullah bin Mubarak. Pada suatu hari dalam musim haji, beliau melakukan tawaf di kaabah. Setelah selesai, Abdullah bin Mubarak tertidur. Dalam tidurnya dia bermimpi mendengarkan pembicaraan dua malaikat. Malaikat pertama mengatakan bahawa alangkah banyaknya orang yang menunaikan ibadah haji pada tahun itu. Malaikat kedua pula berkata alangkah ruginya kerana semua amal yang dilakukan oleh jemaah ini tidaklah sempurna dan tidak bernilai di hadapan Allah. Tetapi hanya dengan suatu amal yang dilakukan oleh seorang tukang kasut maka Allah menerima amal semua jemaah haji tahun itu.

Setelah selesai melakukan ibadah haji, Abdullah bin Mubarak pergi mencari tukang kasut yang disebut malaikat dalam mimpinya. Setelah bertemu dengan tukang kasut tersebut, Abdullah bin Mubarak bertanya, apakah amalan yang telah dilakukan yang membuat Allah begitu menyukai dan menghargai amalan tersebut sehingga dapat menyempurnakan amalan dari jutaan jemaah haji waktu itu.

Si tukang kasut menceritakan bahawa semenjak tiga puluh tiga tahun lalu dia mempunyai keinginan untuk melaksanakan ibadah haji. Untuk itu, setiap hari dia menabung dan setelah dihitung maka dirasakan cukup untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun itu. Beberapa hari sebelum berangkat untuk menunaikan haji, isterinya yang sedang hamil tercium bau masakan yang enak. Ternyata bau masakan tersebut datang dari arah rumah jiran.

Oleh kerana isterinya begitu menginginkan dan kerana sayangnya melihat isteri yang sedang hamil maka si tukang kasut menemui jirannya untuk meminta sedikit bahagian dari masakan tersebut. Si jiran mengatakan bahawa demi Allah makanan ini tidak halal bagi keluarga kamu kerana yang dimasak adalah sisa bangkai binatang yang telah diperoleh.

Si jiran terpaksa memasak bangkai binatang ini kerana sudah beberapa hari dia dan anaknya tidak makan. Demi menghentikan tangis anaknya dan demi mempertahankan hidup maka dia terpaksa memasak bangkai yang diperoleh tadi. Rasulullah pernah mengatakan bahawa dalam keadaan darurat, bangkai binatang dihalalkan untuk dimakan.

Mendengar cerita dari jirannya ini si tukang kasut tersebut berlinang air matanya dan memohon ampun kepada Allah kerana telah lalai memberikan perhatian kepada jirannya. Lalu dia bergegas pulang mengambil semua tabungannya dan menyerahkan kepada jirannya. Dengan lembut dia berkata, “ambillah wang tabungan ini, inilah hajiku.”

Begitulah amalan yang lahir dari seorang hamba Allah yang memiliki jiwa yang murni. Walaupun telah hilang peluang menuju ke Baitullah namun amalan yang telah dilakukan terhadap jirannya sangat disukai oleh Allah. Amalan tersebut membuat banyak amalan lainnya diterima. Bahkan membuatkan semua ibadah para jemaah haji ketika itu diterima Allah.

Mengapa begitu tinggi penghargaan yang diberikan oleh Allah? Kerana inilah suatu amalan yang lahir dengan keikhlasan yang tinggi tanpa mengharapkan balasan apapun.

Mungkin masih belum tiba giliran dan belum sampai masanya untuk kita dipilih menjadi tetamu Allah. Namun, sepertimana kisah tadi, masih banyak peluang untuk merebut pahala dan menambah amal soleh yang terhampar di depan mata dan di sekeliling kita.

Selamat beramal soleh di awal Zulhijjah!

Advertisement