Artikel menarik yang saya temui di sini. Perkongsian buat semua yang berada di jalan dakwah yang suci ini. Dan tak perlu mencurigai apa-apa tentang diri saya=)

Penulis asal: Abu Syifa’

Sedang aku duduk minum di kafe kolej, datang seorang pelajar berbincang soal perkahwinan. Katanya: “Encik boleh tak tolong cari calon isteri untuk saya?” Seperti biasa aku akan bertanya: “Kau ni dah benar-benar bersedia ke nak kahwin?” Ia seperti pelajar-pelajar yang lain menjawab: “Saya memang nak kahwin tapi itu bergantung pada keputusan keluarga, kalau mereka izinkan, saya akan berkahwin.” Tanya saya: “Kalau tak pasti lagi bila nak kahwin, buat apa cari calon?” Katanya: “Saja nak kenal-kenal dulu.” Jawab saya: “Kalau macam itu awak carilah sendiri, saya selalunya akan carikan orang yang benar-benar saya kenal dipasangkan dengan orang yang juga sangat saya kenali.”

Memang perkahwinan banyak terikat dengan restu keluarga. Itu lelaki, apatah lagi kalau perempuan, ia terikat dengan kebenaran walinya. Sepatutnya pemuda-pemudi itu bertanya keluarga dahulu, barulah buat keputusan untuk mencari calon. Bukan apa, bila sudah ada calon dan jarak masa perkahwinan tidak pasti, selalunya mendatangkan banyak masalah dan gangguan. Kemungkinan calon yang dipilih tidak dipersetujui keluarga. Mungkin mereka sudah ada pilihan sendiri. Apatah lagi bila dah ada pasangan, perasaan pun mula berubah. Putik-putik cinta pasti akan bertunas dan lama kelamaan membuahkan khayalan dan mimpi.

Tradisi orang bercinta zaman sekarang sukar untuk dibataskan. Sekurang-kurangnya ziarah-menziarahi melalui SMS dan call menjadi perkara biasa. Bermula dari panggilan akh dan ukh akan berpindah kepada abang dan adik… lama-lama sayang yang kehilangan S. Ermm, waktu itu dah terpaksa belajar memujuk bila merajuk, jiwa mula belajar hakikat rindu, mimpi malam dihiasai igauan wajah. Ermm, kalau jelas hujungnya dan tahu tarikh tamat ‘dunia khayalan indah’ tersebut, tahu juga penyudah dosa-dosa kering tersebut (kering dan ringan di sisi hamba, berat di sisi pencipta). Bagaimana dengan yang tak pasti penghujungnya, tak pasti nasibnya, tak pasti tempoh penantiannya? Umpama orang membeli bahan binaan, tapi tapak rumah belum tersedia. Lama-lama bahan binaan tersebut reput begitu sahaja. Begitulah juga cinta yang tak ‘bertarikh’ pelayarannya. Mulalah merungut pasal ‘lemah iman’, tak khusyuk solat dan macam-macam lagi.

Sesetengah pelajar bila memikirkan perkahwinan sekadar menjadikannya bahan mainan atau hikayat lucu. Mungkin juga untuk menguji nasib dan meraih simpati. Bila betul-betl diajak berkahwin, mulalah bagi banyak alasan… belajar tak abis lagilah, mak bapa tak bagilah, PTPTN tak abis bayar lah, kerja belum dapatlah, nak jaga keluarga dululah. Dulu bila mula memancing ‘cinta’ tak berfikir panjang dan tak memikirkan semua risiko tersebut. Kesian dengan pihak yang benar-benar bersungguh.

Bagi mereka yang memandang kehidupan ini penuh dengan perjuangan, memperjuangkan kisah cinta yang kabur itu amat membuang masa. Kecualilah yang bermazhabkan Romeo dan Juliet. Cinta begitu patut dikuburkan bila ‘tarikh sah/lakunya’ telah tamat. Kalau diteruskan ia akan meracun iman dan perjuangan. Justeru itu selalu saya nasihatkan, agar putuskan saja hubungan bila pelayaran tidak menampakkan halatuju dan pelabuhan. Cinta Ilahi lebih bernilai dari cinta insan yang tak pasti, yang akhirnya lebih banyak melalaikan iman dari membekalkan kekuatan. Memang keputusan begitu selalunya sukar.

Soal jodoh ramai yang keliru. Ada yang menyerahkan pada takdir dan akhirnya menyalahkan takdir. Jodoh seperti amalan ikhtiari yang lain adalah pilihan insan. Ia boleh diusaha dan diikhtiarkan. Ini tidaklah menafikan ‘qada dan qadar’ Allah di penghujungnya setelah puas berusaha. Justeru itu Islam meletakkan beberapa bentuk pilihan pasangan (agama, kecantikan, keturunan dan kekayaan) kerana jodoh boleh dipilih. Islam meletakkan agama sebagai asas pilihan. Memilih pasangan yang tidak memiliki nilai agama adalah satu kesilapan dan perlu ditanggung sendiri risikonya. Tidak boleh menyalahkan takdir.

Ada juga di kalangan pemuda pemudi yang terlibat dalam perjuangan bertanya: “Saya dah ada pasangan yang saya kenali sebelum mengenali dakwah ini. Bolehkah saya teruskan cinta kami ini?” Dulu saya sering bertanya: “Mana awak sayang, antara perjuangan ini atau memperjuangkan cinta lama?” Pernah ada yang menjawab: “Saya sayang kedua-duanya tapi masalahnya pasangan lama saya itu tidak sefikrah.”

Dulu sering saya cadangkan kepada pemuda-pemudi begitu supaya harmonikan hubungan dengan mengajak orang tersebut menyertai perjuangan yang ia sertai. Ini kerana ia sendiri tidak meyakini perjuangan orang itu (pelik juga bagi saya… yakin dengan tubuh badan insan tapi mempertikaikan fikrahnya… bukankah fikrah yang menentukan hidup manusia). Pemerhatian yang saya temui agak tersasar. Ramai yang menyertai dakwah ini hanya kerana desakan dan ajakan ‘orang yang ia cinta’ tidak begitu membuahkah hasil yang diharapkan. Mungkin niatnya tidak betul seperti kisah ‘muhajirah Umm Qais’ dalam hadith pertama dari 40 hadith Imam Nawawi. Apapun selagi tak cuba, mana nak tahu… try & error… tapi membina rumahtangga di penghujungnya atas landasan ‘try & error’ macam keadaan orang berjudi… tak tahu nasib di penghujung.

Cara terbaik sebenarnya, bila sudah memilih seseorang untuk menjadi pasangan hidup, nilailah badan dan akalnya, bahkan akalnya lebih perlu dinilai melebihi badannya. Kalau dah yakin dengan ia, kenapa tidak ikut sahaja perjuangannya? Lagilah kalau kelak ia jadi suami, lambat laun kena ikut juga budaya dan kehendaknya? Bukankah ‘lelaki itu pemimpin wanita dalam keluarga?’

Perjuangan ini hanya untuk orang yang benar-benar meyakini dan sanggup mendahulukannya mengatasi yang lain. Lagipun selagi berada di atas landasan syarak tidak salah berpindah arah… macam Masjid Qiblatain. Walau bagaimanapun, jangan sampai tersasar kiblat hingga akhirnya tidak ke Mekah dan tidak juga ke Aqsa (saya teringat dengan tazkirah seorang pendakwah Arab: 3 punca yang menyebabkan ramai akh futur dalam dakwah, salah pilih pasangan dalam perkahwinan, pangkat dan kuasa).

Bagi pejuang yang benar-benar faham dan yakin, ia tidak akan mendelaykan hasrat berumahtangga setelah memahami hakikat dakwahnya. Bahkan rumahtangga yang ia bina diharap mampu menjadi rumahtangga dakwah yang menjadi asas penting pembinaan mujtama’, daulah dan khilafah.

Advertisement