Hayyu Asyir, Madinat Nasr, Kaherah, Mesir

Jalan raya penuh sesak. Hon kenderaan sahut menyahut. Fanus atau lampu tanglung di tepi-tepi jalan menambahkan kemeriahan. Seolah-olah ada pesta. Dari jauh kelihatan seorang ayah memimpin anaknya melintas jalan. Deretan manusia tak kira kecil, besar, tua dan muda berpusu-pusu menuju ke satu arah. Begitu juga aku bersama akhawat tercinta. Melangkah cepat ke destinasi dituju. Masjid As-Salam. Masjid kesayangan. Sepuluh malam terakhir Ramadhan begitu meriah di sini. Meriah tak terkira. Jauh bezanya dengan suasana di tanah air yang bila tiba akhir Ramadhan, meriah dengan lagu-lagu dan persediaan untuk berhari raya. Di sini sangat lain. Roh Ramadhan terasa. Masing-masing bersemangat untuk melipatgandakan ibadah di penghujung bulan mulia ini..

Saat melangkah ke ruang solat wanita, aku terus membaca doa masuk ke masjid dan berniat iktikaf. Kelihatan para jemaah telah siap berbaris lurus bersedia menghadap sang pencipta. Solat tarawikh telah bermula. Aku cepat-cepat menyertai mereka. Kedengaran bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan imam begitu menusuk kalbu. Ada kalanya bernada sayu. Tak terasa air mata mengalir perlahan. Betapa indahnya kalam tuhan. Tak dapat dibandingkan dengan indahnya puisi-puisi ciptaan manusia. Sampai di ayat azab, tangisan jadi bertambah deras dan dahsyat. Terasa diri begitu lemah dan hina. Tak mampu menanggung segala azab dan seksaNya. Ya Allah, terimalah segala amalanku, solatku, puasaku, qiamku, rukukku, sujudku dan taubatku. hanya kepadaMu aku memohon dan berserah. Sayup terdengar wanita tua di sebelahku teresak-esak menangis. Imam juga kadangkala berhenti sesaat dari bacaan untuk menahan esak tangisnya. Deretan manusia berbaris lurus dalam saf yang teratur menghadap ke arah yang sama semuanya hanyut dalam lautan cinta dan rindu pada sang pencipta. Tak kurang juga yang memegang mushaf dan khusyuk mentadabbur kalam Allah yang mulia. Rasa syahdu memenuhi segenap ruang jiwa.. 

Usai 4 rakaat tarawikh, imam berhenti rehat seketika dan tazkirah disampaikan. Sambil mendengar tazkirah yang kurang difahami kerana disampaikan dalam Bahasa Arab, aku gemar memerhatikan suasana sekeliling. Gelagat ibu-ibu arab yang menjaga anak-anak ketika solat kadangkala menggelikan hati. Ada yang mengacah-acah anak sambil bersolat, mendukung anak dan ada juga yang menghayun-hayun ‘baby coat’ sambil bersolat supaya anak kecilnya tak menangis dan mengganggu jemaah lain. Di sudut sebelah sana, mataku menangkap seorang gadis yang seusiaku sedang petah bercerita kepada sekelompok kanak-kanak. Setiap hari, aku perhatikan ada sahja yang dilakukan olehnya untuk mengelak kanak-kanak dari membuat bising sementara ibu-ibu mereka sedang bersolat. Bukan setakat mengelak mereka dari membuat bising bahkan dapat mengisi masa kosong mereka dari membuat benda-benda yang tak berfaedah. Adakalanya gadis itu mengajar cara menghafal quran. Kadangkala memberi satu hadis untuk mereka hafal dan ada juga kuiz yang menarik untuk mereka. Menarik dan kreatif kan? Rasanya tak pernah lagi aku jumpa orang-orang di masjid-masjid Malaysia buat sebegini. Daripada kanak-kanak memekak, buat bising dan lari ke sana ke mari dalam masjid, lebih baik buat aktiviti berfaedah. Kena bagi idea ni bila balik Malaysia nanti nampaknya=) Tiba-tiba ukhti di sebelahku mencuit bahuku. Rupa-rupanya imam dah mengangkat takbir untuk menyambung solat tarawikh. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran disambung lagi. Setiap malam, imam akan menghabiskan 1 juzuk bacaan atau lebih. Walaupun agak lama dan kaki terasa lenguh juga, namun tetap meneruskan ibadah yang hanya ada setahun sekali sahaja. Rugi kalau tinggal. Tambahan lagi, bulan Ramadahan penuh dengan gandaan pahala. Rasa terlepas banyak pahala kalau tak buat. Lagipun, fikir-fikir balik, Rasulullah yang dipelihara dari dosa dan dijanjikan syurga pun solat sampai bengkak-bengkak kaki untuk menunjukkan rasa syukurnya pada Allah, inikan aku yang punya dosa bertimbun-timbun dan tak tercatat pun sebagai yang layak untuk melangkah ke syurga..Malunya..

Alhamdulillah, kira-kira jam 10.00 malam, selesai ibadah tarawikh 8 rakaat beserta witir. Hari ini kami tak pulang ke rumah. Ibadah iktikaf akan disambung. Ada ukhti yang sudah mengambil tempat untuk melelapkan mata.  Ingatkan nak menyertai mereka namun mata tak terasa mengantuk pula.. Ku capai mushaf tercinta. Menyambung tilawah yang belum khatam-khatam jua. Malam ni malam ke 22. Baru sampai juzuk yang belas-belasan. Rasa takjub sangat dengan orang yang boleh khatam quran beberapa kali dalam Ramadhan. Kena tingkatkan tilawah lagi ni. Tak boleh tidur malam nampaknya. Namun, terlelap juga seketika akibat godaan ukhti yang kata, “nak tahajud kenalah tidur sekejap kan”. Baiklah, tidur pun ibadah juga kan=) Jam 12.30 malam, aku dikejutkan. Solat malam akan dimulakan.  Jemaah sudah memenuhi ruang. Tak sangka qiamullail pun begitu ramai. Setelah memperbaharui wudhu’, aku terus masuk ke dalam saf, bersama jemaah lain yang begitu khusyuk dan tawadhuk mengharap rahmat dan ampunan dariNya. Sedang aku, kadangkala dalam khusyuk dan tawadhuk ditambah dengan tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk. Harapnya ada ganjaran tambahan disebabkan mujahadah keranaNya.. Selesai qiamullail, kami bersahur bersama-sama menikmati juadah yang beraneka macam. Tak perlu risau. Banyak mana makanan yang terhidang pun pasti habis sekelip mata tak kira sahur, berbuka, pagi, petang, siang atau malam. Selepas bersahur, kami menunggu azan Subuh dan bersolat bersama jemaah yang lain.  Dengan berakhirnya Solat Subuh, maka berakhirlah iktikaf pada malam tersebut.  InsyaAllah pemburuan lailatulqadar akan terus berlangsung dengan iktikaf pada malam-malam akhir Ramadhan yang masih berbaki ini..

Tetamu mulia Ramadhan seolah-olah sudah ingin meminta diri untuk pergi..Ya Allah, beri aku peluang untuk terus memberi layanan yang terbaik padanya sementara masa masih ada..

Allahumma ballighna lailatal qadr..

Advertisement