Ramai yang berfalsafah tentang cinta. Ramai juga yang mengaku faham apa itu cinta. Tetapi, tanpa disedari, ramai sebenarnya yang telah tersalah faham tentang cinta. Rupa-rupanya itu bukan cinta.
Sebuah tulisan yang tersiar di ismamesir.net.
Itu Bukan Cinta.
***
Entah mengapa tiap kali namanya disebut, seolah-olah ada getar dalam jiwa.
Entah mengapa seakan –akan ada desir halus yang menyusup dalam hati saat mendengar suaranya dan bertemu dengannya.
Entah mengapa kadang-kadang ada rasa rindu dan teringat-ringat akan dia.
Inikah cinta?
***
Mudah sahaja seseorang mendakwa dirinya dirundung rasa cinta melalui luahan-luahan hati sebegini.
Adakah benar perasaan yang dilalui ini dinamakan cinta?
Salah faham terhadap cinta
Hakikatnya lambakan produk cinta di pasaran serta media sama ada dari barat atau timur yang tidak berpaksikan syariat telah mengajar dunia makna cinta yang rosak dan merosakkan. Novel cinta, filem, drama dan lagu yang dihidangkan telah mendidik dan mendoktrin manusia untuk memahami cinta dengan makna yang tidak benar.
Cinta telah disalah ertikan sebagai gejolak hati dan perasaan serta tarikan antara dua jiwa yang berbeza jantina, membuat mereka saling rindu-rinduan, membawa mereka terbang ke awangan hingga lahirlah istilah tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah. Seterusnya, ia mengajak dan mendorong dua jiwa ini saling mendekati, bertentang mata, berpegangan tangan, meluahkan apa yang dirasa dan melakukan tindakan-tindakan susulan yang bukan dari ajaran agama.
Malah ada cinta yang membawa kepada kemusnahan dan menamatkan riwayat hidup, seperti kisah cinta versi Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet. Lebih buruk lagi apabila golongan agamawan turut mereka cipta cinta versi kekasih‘Anta Enti’ dan sebagainya yang sama istilah dengannya.
Semua ini bukan cinta.
Namun, bukankah perasaan ini tetap hadir ke dalam diri para lelaki dan wanita tak kira siapa? Bukankah cinta itu fitrah manusia? Jika gejolak jiwa yang dirasai bukan bererti cinta, maka apakah erti cinta yang sebenarnya?
Merungkai makna cinta
Sesetengah mendakwa bahawa pengertian cinta sangat subjektif dan sukar diungkapkan. Sesetengahnya mengatakan cinta hanya berpunca dari hormon manusia semata-mata. Ada juga yang mengistilahkan secara ringkas bahawa cinta adalah kasih sayang.
Sememangnya definisi cinta sangat luas. Teramat luas. Syarah cinta boleh dibahas dengan perbahasan yang berlapis-lapis bermula dari cinta makhluk sehingga ke puncak tertinggi iaitu cinta Tuhan.
Demikian definisi cinta oleh orang kebanyakan. Bagaimana pula para ulama’ dan salafussoleh mendefinisikan cinta?
Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah (1292-1350M), seorang ahli fiqh dan hadis yang terkemuka telah menghuraikan makna cinta dengan panjang lebar dalam kitabnya “Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin” (Taman Orang-Orang Bercinta dan Memendam Rindu). Malah, kalimah al-hubb atau cinta sendiri telah dihuraikan dengan 60 istilah berbeza.
Cinta yang difahami Imam Ibnu Qayyim adalah cinta yang mesti dijauhkan dari syahwat yang terlarang, yang hanya akan merosakkan keagungan dan kesucian cinta itu sendiri. Baginya, naluri sesama manusia itu tetap ada dan ia menjadi ujian bagi orang soleh serta cubaan bagi orang yang beribadah. Oleh itu, beliau menawarkan konsep cinta Ilahi, cinta yang berjalan di atas hukum Tuhan, bukan cinta murahan segolongan yang mencuri kata ‘cinta’ untuk menutupi syahwat kebinatangan mereka.
Imam Ibnu Hazm Al-Andalusi (994-1064 M)pula, seorang imam bermazhab Zahiri telah berkongsi perasaan fitrahnya dalam kitab cintanya yang berjudul “Tauqul Hamamah”. Beliau menegaskan bahawa perasaan ingin menyayangi dan disayangi adalah fitrah manusia walaupun dalam diri seorang abid atau alim agama.
Memetik syair beliau:
Akan hinalah orang yang tidak mengenal cinta
Sungguh cintamu padanya wajar ada
Mereka kata cinta buat kau gila
Padahal kau paling faham agama
Bilakah masanya Muhammad mengharamkan cinta
Dan apakah ia menghina umatnya yang jatuh cinta
Janganlah kau berlagak mulia
Dengan menyebut cinta sebagai dosa
Sungguh Allah telah perintahkan kita
Taat pada-Nya, jauhi hawa nafsu durjana
Meski tak ada seksa neraka bagi para pendosa
Kita harus tetap patuh pada-Nya
Menurut beliau, rasa cinta bukan satu kesalahan. Yang menjadi kesalahan apabila ia tidak disalurkan di jalan ketaatan kepada Allah.
Imam Al-Ghazali, pengarang kitab Ihya’ Ulumuddin turut mengarang sebuah kitab cinta yang bertajuk Al-Mahabbah. Seluruh isi kitab ini menghuraikan makna cinta dalam pengertian mahabbatullah atau cinta kepada Allah. Syarahannya berbeza dengan Imam Ibnu Qayyim dan Ibnu Hazm yang menghuraikan cinta insaniyah dan antara lawan jenis secara terperinci.
Imam Al-Ghazali turut menerangkan bahawa kalimah al-hubb berasal daripada al-habb yang bermaksud biji benih. Oleh kerana itu, cinta yang difahami olehnya adalah cinta kepada Allah yang menjadi benih dan asal tujuan kepada kehidupan manusia. Inilah cinta yang difahaminya.
Jalan keluar dilema cinta
Islam agama fitrah dan mengiktiraf fitrah manusia yang mempunyai gelora rasa ini. Islam juga telah menyediakan jalan untuk mengawal dan mengurus cinta.
Seperti perbuatan makan, minum dan tidur yang menjadi fitrah manusia, seperti itu juga naluri antara dua jiwa berbeza jantina yang saling memerlukan ini. Perbuatan makan, minum dan tidur perlu dikawal sebaiknya agar tidak terlebih atau terkurang dan meninggalkan kesan buruk pada empunya diri. Begitu juga halnya cinta jika tidak dikawal dan diurus, nescaya akan membawa kerosakan.
Pernikahan adalah jalannya. Fitrah manusia dapat disalurkan melalui jalan halal ini. Dan perlu diingatkan bahawa sebelum melalui pernikahan, tiada istilah cinta. Yang ada hanyalah dorongan syahwat dan bisikan jahat yang dihembus syaitan durjana.
Namun, cinta yang berawal dari sebuah pernikahan bukanlah semudah yang disangka. Cinta dalam pernikahan mengandungi maksud komitmen. Allah telah menyebut perkahwinan di dalam Al-Quran dengan istilah “mithaqan ghaliza” iaitu janji setia yang teguh. Jika masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab, berfikirlah sebentar kerana ia bukanlah jalan pintas walaupun ia adalah jalan penyelesaian terbaik yang dianjurkan Islam untuk memenuhi fitrah.
Rasulullah SAW bersabda: “ Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah, kerana ia menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Barangsiapa yang tidak mampu maka berpuasalah. Kerana ia adalah pendinding bagi kamu” (HR Al-Bukhari)
Jika belum tiba masanya untuk melangkah ke alam perkahwinan, berpuasalah seperti saranan nabi dan perbanyakkanlah ketaatan. Bersabarlah kerana masa untuk bernikah pasti akan tiba jua, sama ada cepat atau lambat. Yakinlah bahawa Allah telah menulis segala takdir untuk kita dan Dia menjanjikan wanita-wanita solehah untuk lelaki-lelaki soleh dan begitu juga sebaliknya.
Kendalikan nafsu dan pandanganmu!
Fitrah manusia sememangnya tertarik dan cenderung untuk melihat apa yang disukainya. Telah diriwayatkan, Al-Fadhl bin Abbas, sahabat Nabi SAW yang juga sepupunya terlalu asyik melihat seorang gadis lalu Rasulullah memalingkan pandangan sepupunya ke arah lain. Rasulullah bersabda: “Aku melihat pemuda dan pemudi, maka aku tidak berasa aman akan gangguan syaitan terhadap mereka”.
Pandangan pada yang bukan muhrim adalah panahan syaitan. Sedangkan sahabat yang berdampingan dengan Nabi masih diuji dengan tarikan lawan jantina, apatah lagi di akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini. Sahutlah perintah Allah agar merendahkan pandangan untuk memelihara kehormatan dan menjaga diri dari dosa.
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka…” (Surah An-Nur: 30-31)
Imam Ibnu Qayim menjelaskan ayat ini dengan berkata: “Allah menjadikan mata sebagai cermin hati. Jika seseorang menahan pandangan matanya bererti dia menahan syahwatnya dan keinginan hatinya. Jika dia membebaskan pandangan matanya, bererti dia membebaskan syahwat dalam hatinya.”
Cinta Allah cinta pertama
Berusahalah untuk menyelesaikan dahulu hak cinta kepada Allah SWT, pemilik segala cinta sebelum merasa ingin bercinta dengan manusia atau sesama makhluk.
Dr. Abdullah Nasih Ulwan mengkategorikan cinta kepada 3 peringkat:
- Cinta paling tinggi: cinta kepada Allah, Rasul dan cinta untuk berjihad di jalan Allah.
- Cinta pertengahan: cinta kepada ibu bapa, anak-anak, suami dan isteri serta kaum keluarga.
- Cinta paling rendah: melebihkan cinta kepada ibu bapa, kaum keluarga, harta benda dan tempat tinggal melebihi cinta kepada Allah dan Rasul serta berjihad di jalan-Nya.
Orang yang inginkan kemuliaan akan memilih cinta di martabat pertama. Kerana cinta ini adalah segala-galanya dan kekal selamanya.
Sedang orang yang inginkan kehinaan akan memilih cinta bertaraf rendah, dengan mencintai segala yang fana dan tidak membawa kebahagiaan yang berkekalan hingga ke akhirnya.
Seorang muslim sejati pastinya tidak akan memilih cinta murahan dan picisan. Ia tidak akan sesekali bermaksiat atas nama cinta. Kerana ia memahami bahawa cinta itu suci.
Cinta adalah suasana jiwa yang bernuansakan kepatuhan dan keindahan taat kepada Tuhan.
Jika cinta yang diertikan membawa manusia jauh dari syurga, maka itu bukan lagi cinta.
***
Entah mengapa tiap kali namanya disebut, seolah-olah ada getar dalam jiwa.
[Benar, saat nama Tuhanku disebut, hatiku bergetar. Kerana Dia berfirman: “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya…”].
Entah mengapa seakan –akan ada desir halus dalam hati saat mendengar suaranya dan bertemu dengannya.
[Jika aku ingin mendengar Allah berbicara padaku, aku akan membaca Al-Quran, kalam-Mu. Jika aku ingin berbicara dengan-Mu, aku ke mihrab untuk bersolat. Terasa desir rahmat-Mu menyapa lembut jiwaku].
Entah mengapa kadang-kadang ada rasa rindu dan teringat-ringat akan dia.
[Ingatanku pada-Mu adalah pada setiap detik dan waktu. Kerana solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk-Mu].
Inilah cinta.
Rujukan:
- Al-Quran Al-Karim
- Al-Mahabbah wa Al-Syauq wa Al-Uns wa Ar-Redha (Cinta, Rindu, Kemesraan dan Keredhaan), Imam Al-Ghazali
- Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin (Taman Orang-Orang Bercinta dan Memendam Rindu), Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah
- Tauqul Hamamah (Kalung Burung Merpati), Imam Ibnu Hazm Al-Andalusi
- Al-Islam wa Al-Hubb (Islam dan Cinta), Dr. Abdullah Nasih Ulwan