• Tentang Penulis

arahhidup

~ hidup terarah bila dipandu redha Allah

arahhidup

Category Archives: Uncategorized

Akhirnya

14 Sabtu Sep 2013

Posted by nur fatin in Uncategorized

≈ 1 Komen

Bismillah

Membaca tulisan lama, tentang hakikat penciptaan dan tanggungjawab yang perlu difahami oleh seorang wanita, yang ditujukan kepada diri sendiri, pada saat ini.

Akhirnya Ke Dapur Jua

“Kita orang perempuan ni, belajar tinggi mana pun akhirnya akan ke dapur juga…”

Begitulah kata-kata yang barangkali keluar daripada bibir wanita-wanita yang lebih tua atau istilahnya, ‘yang lebih dahulu makan garam’ dan kadangkala kata-kata ini menyinggah ke telinga mereka yang lebih muda, khususnya yang sedang atau ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi yang pernah melalui situasi ini dan mengganggap kata-kata ini sebagai satu sindiran sinis, pasti sedikit sebanyak akan terasa hati, diserang perasaan lemah semangat dan merasakan tiada gunanya belajar tinggi-tinggi. Mengapa tidak, apabila melihat dirinya yang bersusah payah menuntut ilmu hingga ke tahap akademik tertinggi sekalipun, pada akhirnya akan tetap menjadi ‘orang rumah’ yang berkhidmat pada suami dan keluarga, melahirkan anak dan mengasuh mereka.

Sedang yang melihat dari sudut positif, mereka akan merasakan kata-kata ini ada benarnya. Tak perlu berkecil hati. Terimanya sebagai satu nasihat kerana ia mengingatkan kita kepada peranan seorang wanita yang sebenarnya. Tinggi dan hebat mana sekalipun wanita itu, dia adalah tetap seorang wanita bersama hakikat dirinya yang sebenar.

Hakikat penciptaan wanita

Bukankah wanita itu telah diciptakan Allah begitu istimewa? Imbas kembali hakikat penciptaan wanita, wujudnya sang Hawa daripada rusuk sang Adam. Bagaimana hadirnya sang Hawa untuk memberi ketenangan pada sang Adam, begitulah hakikatnya seorang wanita yang bergelar isteri menjadi sumber kedamaian pada seorang lelaki yang bernama suami. Dialah sumber kasih sayang, penyalur kekuatan, peningkat keimanan dan sentiasa berada di sisi untuk menghulur khidmat, dengan penuh ketaatan dan mengharap keredhaan.

Seorang wanita juga adalah ibu yang mendidik anak-anaknya dengan kelembutan yang dianugerahkan. Wanita memiliki naluri yang halus dan jiwa yang lembut. Fitrah yang hanya ada pada wanita inilah yang menjadikannya begitu istimewa. Kelembutannya bukan bermakna ia lemah. Dengan kelembutannyalah lahir generasi yang merubah dunia. Bukankah pepatah menyebut, “lembut tangan yang menghayun buaian akan menggoncang dunia?”

Maka, menyedari bahawa peranan wanita yang ‘akhirnya ke dapur’, berkhidmat sebagai seorang isteri dan ibu, adakah bermakna dia seorang peribadi yang tidak berilmu dan tidak berpengetahuan? Lebih-lebih lagi jika para wanita yang sedar bahawa dirinya berada di posisi terpenting ini, maka ia perlu mempersiapkan dirinya untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang cerdik dan mampu membimbing manusia yang berada di sekelilingnya.

Bukan itu sahaja, peranan seorang wanita lebih daripada itu lagi. ‘Akhirnya ke dapur’ bukan bermakna tempatnya hanya di dapur dan terperuk di sudut itu. Bahkan seorang wanita muslimah khususnya seharusnya menjadi contoh terbaik dan pemimpin kepada wanita lain. Wanita muslimah juga harus menyedari bahawa di bahunya terpikul risalah yang harus disebarkan kepada umat.

Maka, didasari dengan kefahaman yang jelas akan peranan asasi dan tanggungjawab wanita yang sebenarnya, tidak salah dan barangkali menjadi keperluan untuk para wanita keluar sama ada untuk menuntut ilmu, berdakwah atau berkerjaya. Disamping menjadikan hukum agama yang sebenarnya sebagai petunjuk dan panduan baginya.

Islam tidak menyekat kebebasan wanita

Islam tidak pernah menghalang wanita untuk keluar dan bergerak bebas selagi mana dalam lingkungan syarak dan menjaga ‘iffah atau kemuliaan diri. Bahkan para wanita menjadi pembantu kepada lelaki dalam kerja-kerja menegakkan agama.

Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 71)

Rasulullah sendiri tidak pernah mengenepikan wanita dalam kehidupan baginda. Dalam peristiwa sirah, ketika di Hudaibiyah, baginda telah meminta pandangan Ummu Salamah apabila melihat perintahnya kepada para sahabat untuk bercukur tidak diendahkan. Dengan buah fikiran yang bernas dari Ummu Salamah, beliau mencadangkan agar baginda melaksanakan dahulu. Maka tatkala baginda keluar dalam keadaan telah mencukur kepalanya, para sahabat serta-merta melaksanakan perintah baginda.

Islam juga tidak pernah menghalang wanita menuntut ilmu. Bahkan menganjurkannya dan menjadikannya sebahagian daripada kewajipan. Sebagaimana sabda nabi SAW:

 ”Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim dan muslimat.” (HR Ibnu Majah)

Sejarah telah membuktikan lahirnya tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang terbilang dari kalangan wanita.

Isteri baginda Rasul sendiri, Aishah binti Abu Bakar antara yang faqih dalam urusan agama, menjadi tempat rujuk para sahabat dan meriwayatkan banyak hadis dari Rasulullah. Diriwayatkan dari Abu Musa al-Ash’ari, beliau berkata “Kami pernah tidak dapat menyelesaikan satu masalah dan apabila kami ajukan kepada beberapa orang sahabat baginda yang pakar dalam ilmu hadis, tidak ada sesiapapun yang dapat memberi jawapan kecuali Aishah RA.

Wanita juga tidak terkecuali dalam memberi sumbangan di medan jihad. Nusaibah, Safiyyah dan Rufaidah semuanya tokoh-tokoh pejuang wanita yang berjiwa kental sepanjang zaman.

Bukan itu sahaja, dalam pemerintahan negara, wanita turut mengambil bahagian. Ketika pemerintahan Umar Al-Khattab, seorang sahabiah yang bernama Ummu Syifa’ memegang jawatan hisbah di pasar Madinah.

Keluar bekerja bagi seorang wanita juga tidak pernah menjadi halangan. Buktinya, wanita Ansar keluar menolong suami mereka untuk bercucuk tanam. Berbeza dengan wanita Makkah pada waktu itu yang hanya berada di rumah. Yang penting, semuanya dilaksanakan atas landasan adat dan adab, tidak melanggar syariat dan yang paling utama, para wanita sedar tanggungjawabnya yang sebenar dan tidak mengabaikannya.

Kebebasan yang sesat

Amat menyedihkan pada hari ini kita melihat para wanita moden berlumba-lumba untuk menyamakan kedudukannya dengan para lelaki atau lebih lagi daripada itu. Mahu berdiri sama tinggi duduk sama rendah katanya.

Gerakan pembebasan wanita dan tuntutan penyamarataan hak semakin menjadi-jadi dan tersebar luas. Jika dunia Arab amat masyhur dengan nama Qasim Amin dan Huda Sha’rawi, tanah air kita sendiri tidak terlepas dari racun liberalisasi wanita yang dipelopori oleh Sister In Islam bersama tuntutan-tuntutan mereka yang sama sekali tidak fitrah dan tidak masuk akal .

Mengapakah semua ini berlaku? Tidak lain tidak bukan puncanya adalah apabila para wanita menjadikan barat sebagai kiblat.

Kita tidak perlu menubuhkan ‘Ministry of Gender Equality’ sepertimana yang telah ditubuhkan oleh beberapa buah negara.

Kita tak perlu berhempas-pulas untuk menyamakan kedudukan semata-mata untuk mencari kemuliaan atau membuktikan sesuatu untuk menunjukkan dirinya berharga dan bernilai.

Kita tak perlu bersuara lantang untuk mempertahankan hak dan melaungkan slogan-slogan pembebasan wanita.

Hakikatnya, kita telah lama mulia, hebat dan bebas merdeka.

Umar Al-Khattab berkata;

 ”Pada masa jahiliyah, wanita itu tak ada harganya bagi kami. Sampai akhirnya Islam datang dan menyatakan bahawa wanita itu sedarjat dengan lelaki.”

Barangkali realiti yang dilihat pada hari ini, penindasan terhadap wanita yang berlaku membuatkan wanita bangkit dan memperjuangkan haknya. Lihat sahaja sebagi contoh kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat. Tindakan pemerkosaan terhadap wanita terjadi setiap enam minit dan pembunuhan terjadi pada setiap 31 minit.

Penindasan terhadap wanita merebak di seluruh dunia termasuk di dunia barat sendiri. Sehinggakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan pada 17 Disember 1999 bahawa tanggal 25 November setiap tahun adalah International Day for the Elimination of Violence against Women atau Hari Anti Kekerasan Terhadap Wanita.

Namun, jelasnya ini bukanlah isu ketidakadilan Islam terhadap wanita. Ia adalah isu global. Dan Islam sendiri telah meyediakan solusi untuk memberi keadilan dan membela wanita serta meletakkannya di kedudukan yang sepatutnya.

Penyelesaian

Akhirnya, para wanita sendiri perlu kembali kepada Islam yang sebenar, memahami dan mendalami isi Al-Quran dan As-Sunnah. Segalanya akan terjawab jika wahyu menjadi rujukan. Hidupnya sentiasa mulia, tidak pernah ditindas dan haknya tak pernah diabaikan.

Wanita juga harus dididik untuk menjadi wanita. Ini bermakna menyediakan wanita yang faham akan tanggungjawab sebenar. Bukan untuk bersaing dengan lelaki. Kebebasan ada hadnya dan peranannya harus dimainkan selari dengan fitrahnya.

Allah SWT berfirman:

“Orang-orang lelaki itu adalah Qawwamun ke atas para wanita dengan apa yang dilebihkan Allah ke atas sebahagian kamu dari sebahagian yang lain, dan dengan apa yang mereka nafkahkan dari harta mereka.” (Surah An-Nisa’: 34)

Sentiasa perlu beringat bahawa tidak salah untuk keluar rumah, berkhidmat pada masyarakat, berdakwah atau berkerjaya, namun segalanya perlu diseimbangkan dan sentiasa berusaha untuk tidak cuai dalam memberikan hak pada yang berhak.

Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap dari kamu itu adalah pemimpin dan setiap dari kamu akan dipertanggungjawabkan dengan orang yang di bawah kepimpinannya. Maka orang lelaki adalah pemimpin ahli keluarganya, dia juga bertanggungjawab dengan orang yang dibawah kepimpinannya. Demikian juga wanita (isteri) adalah pemimpin dalam rumah suaminya, dia juga dipertanggungjawabkan dengan orang di bawah kepimpinannya (anak-anak dan seumpamanya…).” (HR Bukhari & Muslim)

Penutup

Benar, wanita akhirnya akan ke dapur juga, kerana itulah tugasan asasinya. Dialah isteri, dialah ibu. Peranan dalam rumah tangga tak kurang besarnya. Bahkan dari rumah inilah peranan besar dimainkan untuk membentuk keluarga, masyarakat dan negara.

Kerana itulah wanita perlu dibentuk dan dididik dengan sebaiknya. Juga dilengkapkan dengan ilmu dan kefahaman Islam yang sebenarnya.

Seorang ibu ibarat sebuah sekolah. Jika anda pandai mempersiapkannya, seolah-olah anda telah menyediakan generasi yang baik dan terjamin.

Wanita penentu masa depan sesebuah masyarakat dan bangsa. Padanyalah juga disandarkan harapan dan kesejahteraan dunia.

Advertisement
← Older posts

Mana Arah Hidupmu?

"Katakanlah, inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah dan sama sekali aku bukan termasuk golongan orang-orang musyrik" +Yusuf:108+
Nur Fatin Halil

Create Your Badge

Membangun Umat Beragenda

  • Akademi Ikatan Muslimin
  • Aman Palestin
  • I-Medik
  • ismamesir
  • ismaweb
  • KRIM
  • Majlis Ulama' ISMA
  • PEMBINA
  • Tadika ISMA
  • Wanita ISMA

Yang Lalu

Pengunjung

  • 20,433 hits

Enter your email address to subscribe to this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 14 other subscribers

Tuan Rumah

  • Daftar
  • Log masuk
  • Suapan pemasukan
  • Suapan komen
  • WordPress.com

Create a free website or blog at WordPress.com.

Privacy & Cookies: This site uses cookies. By continuing to use this website, you agree to their use.
To find out more, including how to control cookies, see here: Cookie Policy
  • Ikut Following
    • arahhidup
    • Already have a WordPress.com account? Log in now.
    • arahhidup
    • Ubah suai
    • Ikut Following
    • Daftar
    • Log masuk
    • Report this content
    • View site in Reader
    • Manage subscriptions
    • Collapse this bar
 

Loading Comments...