Surau kecil yang terletak di loteng hostel ini kelihatan tenang dan damai. Setiap kali waktu solat, surau inilah yang mengumpulkan komuniti Muslim di sini. Bukan sahaja pelajar-pelajar Muslim dari Malaysia malah pelajar Muslim dari pelbagai negara yang tinggal di sini. Di sudut belakang sana, tersergam sebuah rak buku. Pelbagai buku agama dalam Bahasa Inggeris dan bahasa tempatan disusun rapi. Beberapa keping risalah pengenalan Islam turut berada di situ. Aku mencapai satu.

“Hlas” – “As-Sout” yang bermaksud ‘Suara’; Sebuah buletin yang diterbitkan oleh Persatuan Pelajar Muslim Republik Czech tertulis di bahagian hadapan.

Aku membaca tajuk artikelnya. Islám – klíč k budoucnosti.

“Apa maksudnya Zaharah?”

“Islam kunci masa depan”, jawab beliau ringkas.

Aku termenung sejenak. Dalam kesamaran cahaya Islam di bumi Eropah ini, ditambah dengan kerakusan manusia mengejar dunia, kemewahan dan kemodenan, tak ku sangka ada Muslim yang bekerja untuk memastikan agama Islam yang mulia ini sampai kepada masyarakat. Risalah di tangan ini membuktikan ada jiwa-jiwa yang hidup dengan hidayah dan sedar akan tanggungjawab dakwahnya.

Juga dalam kekalutan manusia yang hilang arah dan tercari-cari solusi akan segala permasalahan dunia, tambahan lagi dengan pelbagai idealogi yang diperkenalkan dan dimasyhurkan di barat seperti humanisme, sekularisme, kapitalisme, sosialisme dan sebagainya, tetap ada jiwa-jiwa yang meyakini bahawa Islam adalah jalan keluarnya. Mereka jelas bahawa Islamlah agama yang paling mulia dan sempurna.

Ya, Islam kunci masa depan. Hanya dengan Islam dunia ini akan aman dan makmur. Hanya dengan Islam masa depan umat sejagat ini terjamin. Bukan dengan selain Islam. Islamlah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Dakwah ini harus diperkasakan lagi agar manusia dapat melihat dengan jelas dan sedar untuk kembali kepada fitrahnya. Harapan untuk umat ini akan sentiasa ada.

Islam adalah agama yang universal. Ia bukan agama untuk orang Arab atau bangsa tertentu sahaja. Islam agama untuk semua. Kerana itulah Islam relevan sehingga kini. Untuk sesiapa sahaja, bila-bila masa dan di mana jua.

Populasi Muslim di Republik Czech mungkin tidak seramai di United Kingdom atau bahagian Eropah lain. Dikatakan seramai 12 ribu orang Muslim di sini. Di Prague, ibu negara Czech, terdapat lebih kurang 5 ribu mereka yang beragama Islam. Namun agak sedih juga kerana beragama Islam dan mengamalkan Islam sebenarnya tidak sama. Hakikatnya, ‘practising Muslim’ hanyalah seramai 3 ribu daripada jumlah kesemuanya.

Walaupun begitu, Allah akan sentiasa memelihara agama-Nya. Di ceruk muka bumi mana pun, hatta di bumi bekas jajahan komunis dan majoriti rakyatnya menganut ajaran Ateis ini, dakwah Islam akan terus bersinar. Tetap ada jiwa-jiwa yang Allah pilih untuk terus berjuang menyebar Islam dan mengekalkan kemuliaan agama ini.

Rasa berbaur lagi. Ada rasa ‘izzah dengan kemuliaan Islam. Ada rasa syukur dengan nikmat Islam. Di sudut lain pula, aku bertanya sendiri, adakah aku juga antara mereka yang berjuang menyampaikan agama mulia ini. Adakah Allah memilih aku untuk menjadi sebahagian daripada kafilah dakwah ini?

Terserah padaku. Pilihan di tanganku. Islam tidak akan tertegak sendiri melainkan ada yang menjadi pemikul risalahnya. Jika aku tidak mahu memilih jalan ini, Allah akan menggantikan mereka yang lebih layak untuk memelihara agama suci ini.

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan bertaqwa) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu”. (Surah Muhammad: 38)

Dengar sini, jika kamu tidak mahu mentaati Allah dan rasul-Nya, tidak mahu menjalankan tugas dakwah, nescaya Allah akan menggantikan tempat kamu dengan kaum lain yang lebih menjunjung perintah Allah daripada kamu, bahkan mereka lebih baik dan lebih mentaati Allah dari kamu.

Ayat dari Surah Muhammad ini terus terngiang-ngiang dan berulang-ulang.

Ya Allah, pilihlah aku. Dalam doa aku berbisik.

Tanah bekas jajahan komunis berpenganut Ateis ini disirami air mata lagi. Untuk kesekian kali.

-sedutan Eropah Yang Ku Lihat: Sebuah Travelog. Akan datang bi iznillah.

Advertisement