autumn

Bismillah.

Dengan nama Allah aku menulis.

Setelah sekian lama tidak mencoret apa-apa, hari ini aku rasa ingin menulis sesuatu. Jujurnya, perasaan ini sudah lama terpendam. Hanya menunggu masa untuk diluahkan. Mungkin inilah saatnya. Inilah harinya untuk aku akan mengeluarkan segala isi hati. Di sela-sela waktu, aku cuba mencuri ruang. Jika dibiarkan, semakin lama semakin meronta-ronta gejolak perasaan ini. Tak terbendung lagi rasa yang membuncah dalam jiwa.

Perasaan ini sukar untuk aku ungkapkan. Tak tergambar dan terlafaz dengan kata. Susah untuk aku lukis atau tulis.

Apakah rasa ini?

Aku meraba hati.

Barangkali inilah satu rasa yang bernama cinta.

***

Persepsimu padaku ketika ini tentu sedikit berubah. Ah, mahu berbicara tentang cinta?! Bermadah pujangga atau berangan mahu jadi penglipur lara? Buang masa sahaja pekerjaanmu itu. Kita banyak lagi kerja!

Mungkin itu yang akan kau kata. Terserah padamu. Aku cuma mahu kita berfikir sejenak mengenainya.

Sebelum itu, maafkan aku kerana aku juga manusia biasa. Yang ada jiwa. Yang ada cinta. Aku pula bukanlah seorang penyair unggul laksana si penyair Tauqul Hamamah, Ibnu Hazm Al-Andalusi yang mengekspresikan cinta dengan syair gurindam yang indah dan bermutu tinggi bahasanya. Bukan juga seperti pengarang Raudhatul Muhibbin, Ibnu Qayyim Al-Jauzi dengan kehebatan kata-kata dan ilmunya.  Inilah aku, mengkhabarkan rasa cintaku dengan caraku. Aku mohon kau jangan salah mengerti.

Tentang cinta.

Ingin aku bertanya, apakah yang terlintas di fikiranmu jika disebut kalimah cinta? Apakah definisi cinta buatmu?

Ah, bercakap mengenai cinta hanya membuang masa dan tenaga.

Jika cinta yang kau definisikan adalah sejenis cinta rapu dan semu, kau benar. Ia hanya membuang waktu. Jika ia cinta yang membuatmu melayang terbang di awangan, pastinya banyak masa dan tenaga terbuang. Namun, aku pasti cinta yang akan aku khabarkan ini bukan cinta palsu. Bukan di antara jenis-jenis cinta yang berlonggok murah di pasaran. Bukan cinta khayalan atau dongengan. Bukan cinta jiwang yang difahami banyak orang, tetapi cinta yang mengobarkan semangat juang. Ini sebuah cinta suci anugerah Ilahi.

Bagaimana harus aku mulakan?

Begini kisah cintaku.

***

Jujurnya, aku memiliki cinta pertama. Selepas cintaku yang pertama, dia datang dalam hidupku. Aku akui lelaki ini cinta keduaku. Walaupun yang kedua, dia tetap aku sayang.

Dan aku tahu aku tak mampu untuk lari dari lumrah. Dari cinta lahirnya rasa rindu.

Sebenarnya aku masih berfikir. Entah bagaimana rasa cinta dan rindu ini bertamu, sedangkan kita tak pernah bertemu. Tidak juga kau pernah menjelma dalam mimpi. Kita belum pernah bersua muka, apatah lagi berpapasan di jalanan. Untuk bertentang mata jauh sekali. Aku yakin bahawa Allah yang mencampakkan rasa ini. Walaupun dia tiada di depan mata, rasa cinta sentiasa ada. Walau jarak dan waktu memisahkan kita, rasa rindu tetap datang tanpa dihalang.

Aneh bukan?

Walau wajahnya hanya dapat digambarkan, walau hanya mendengar khabaran tentangnya, semakin hari semakin aku mengaguminya dan mencintainya.

Pada mulanya dahulu aku sangkakan aku hanya bertepuk sebelah tangan, memendam rasa padanya. Namun, tanpa diduga, dia telah terlebih dahulu mengungkapkan cintanya padaku, membuatkan aku jadi haru. Dan saat aku tahu bahawa cintanya padaku tak pernah berkurang atau berubah sedikit pun, aku jadi malu. Kerana ada kalanya aku lupa bahawa dia yang paling dahulu perlu aku cinta, sebelum datang cinta-cinta lain di dunia. Alangkah susahnya menjadi sang setia. Betapa sukarnya mengurus rasa cinta. Maafkan aku jika kadangkala aku terlupa.

Dalam cinta ini, cemburu turut menjelma. Aku jadi cemburu bila mendengar cerita-cerita mereka yang mencintai dirinya sepenuh jiwa. Aku mencemburui perempuan bernama Nusaibah yang bermati-matian mencintainya, mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan dirinya. Aku juga mencemburui si Khansa’, yang punya ayah, anak dan suami, tetapi dirinya yang terus dicari. Entah di tahap mana cintaku padanya. Adakah aku mampu mencintai dirinya seperti mereka, cinta yang sekuat itu.

Aku harus terus belajar mencintainya.

Aku juga harus terus belajar makna cinta sebenar. Aku tahu bahawa cintaku padanya bukan hanya dengan ungkapan dan kata-kata manis, tetapi dengan pembuktian gerak laku, tindakan dan pengorbanan yang tak pernah habis.

Cinta pada lelaki ini tidak cukup dengan hanya sebuah perasaan.

Cinta pada lelaki ini tidak cukup dengan rindu-rinduan.

Aku harus menterjemahkan cinta ini dalam kehidupan.

Aku harus memaknakan cinta ini dalam perjuangan.

Aku harus menjasadkan cinta ini dalam sebuah komitmen dan kesungguhan.

Demi cinta ini, aku akan lakukan apa sahaja. Aku berjanji untuk mempertahankan dirinya dan menyambung perjuangannya. Dan aku pasti, suatu hari nanti kita akan bertemu. Di sebuah daerah indah, bernama jannah.

Sambutlah cintaku wahai kekasihku,

Muhammad SAW.

Muhammad Rasulullah. Dialah lelaki itu. Cinta keduaku selepas cinta agung Allah Tuhan yang satu.

Wahai Muhammad, akuilah bahawa diriku sebahagian dari umatmu. Aku ingin minum dari telagamu. Aku inginkan syafaatmu. Dan aku ingin berada di sisimu selalu. Menjadi yang paling dekat, kelak di akhirat.

Buatmu cintaku Muhammad ku, di hari lahirmu.

12 Rabiulawwal 1434 H.

Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala aalihi wa sohbihi wa sallam.

***

Telah aku khabarkan rasa cintaku. Dan Muhammad, dialah lelaki yang bertakhta di hati. Siapakah pula yang menjadi sesuatu di hatimu?

Khabarkan aku tentang cinta. Cintamu padanya.

Dan Allah dan Rasulnya lebih mengetahui.

Catatan lama tentang cinta di sini.

Advertisement