Hari itu, matahari memancar seperti biasa. Terangnya seperti selalu. Tetapi hangatnya tak menyengat seperti hangat musim panas yang tajam. Angin sejuk kadang-kadang menyapa lembut. Sesekali matahari berselindung di balik awan. Suasana jadi redup. Seredup hati-hati mereka yang berkasih sayang kerana Allah.

Telah menjadi lumrah kehidupan. Ada yang datang, ada yang pergi. Ada pertemuan, ada perpisahan. Hari itu, hati-hati yang bercinta di jalan Allah menyaksikan sebuah perpisahan. Hati-hati itu harus merelakan jua mereka pergi. Pergi meninggalkan tanah Kinanah yang bertahun-tahun mengajar sejuta macam pelajaran.

Mereka pergi membawa bersama pelajaran-pelajaran yang telah dihimpun pulang ke tanah air. Agar pelajaran itu dapat dikongsi bersama masyarakat. Memberi manfaat buat yang menanti, perlukan semangat. Juga buat umat yang sedang merana sakit tenat, dahagakan ubat, perlu cepat dirawat.

Menyaksikan sebuah pemergian, hati-hati yang redup menjadi mendung. Sebak di jiwa tiada dapat diselindung. Hujan air mata turun meluahkan rasa yang terkandung. Yang ditinggalkan merasakan sebuah kehilangan. Sepanjang kehidupan bersama, penuh dengan suka duka dan kenangan. Ukhuwah kerana Allah ini begitu manis dan indah, tak dapat digambarkan.

Buat yang pulang, tiada kata-kata yang dapat diucapkan melainkan selamat meneruskan perjuangan,  dianugerahkan thabat dan diberikan kekuatan untuk bekerja di medan. Jangan katakan selamat tinggal. Tapi katakanlah semoga kita bertemu lagi nanti. Kalau bukan di tanah air tercinta, di tempat yang lebih indah iaitu di syurga.

Bagi yang ditinggalkan, rantai perjuangan akan terus sambung menyambung. Belum masanya untuk pulang. Teruskan menghimpun pelajaran. Di bumi Kinanah, tanah para nabi, para ulama’ dan para pejuang. Padanya terselit mutiara-mutiara tersimpan. Cari dan gali sementara masa masih ada peluang. Jangan sia-siakan. Jangan remehkan. Jangan abaikan.

Segala yang diaturkan pasti ada kebaikan. Percaya dengan segala yang Allah tentukan. Jalah tarbiyah memang payah. Perlu mujahadah. Jangan berhenti, teruskan berjalan. Bahan-bahan dan bacaan fikrah habiskan. Tambahkan kefahaman. Al-Quran 30 juzuk khatamkan. Selagi tak habis, jangan pulang. Tetapi kekallah dan bertahan!

***

Dedikasi buat Ukhti Fatimah Zaharah Rosli & Ukhti Nurul Fahimah  Muda (juga anak-anak mereka yang dirindui, si kecil ‘Ezzat & Harith) yang pulang ke tanah air setelah menamatkan pelajaran dan khidmat di sini. Terima kasih atas segalanya! Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa kalian.

Juga dedikasi dan pesanan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat, akhawat yang ditinggalkan. Agar terus kukuh, di jalan dakwah dan tarbiyah yang pastinya panjang dan melelahkan.

Advertisement