27 April 2 tahun yang lalu.

Sedang aku bergelumang dengan buku-buku pelajaran kerana peperiksaan yang semakin hampir, aku menerima mesej dari mama.

“Doakan Tok selamat. Sekarang tengah kritikal kat hospital”

Bagai disambar halilintar, tiba-tiba dapat berita mengejut sebegini. Setahu aku, Tok tak ada sakit apa-apa. Hati jadi tak keruan. Semua buku-buku yang nak dibaca ditolak tepi. Dalam hati, doa tak pernah berhenti. Ya Allah, selamatkanlah Tok. Izinkanlah aku untuk berjumpa dengannya lagi selepas ini.

Tak lama kemudian, satu mesej lagi diterima.

“Tok dah tak ada. Doktor dah sahkan tok meninggal tadi. Al-Fatihah.”

Air mata tak dapat ditahan lagi. Kalau inilah kesudahan yang Allah tentukan, aku terima. Allah lebih sayangkan Tok. Dia tahu segalanya yang terbaik.

Tak ingin rasanya untuk mengisahkan punca pemergian Tok. Semuanya akan buat aku jadi sedih lagi. Sebagai seorang yang beriman, aku perlu yakin pada takdir yang Allah tentukan.

لكل أمة أجل فإذا جاء أجلهم لا يستأخرون ساعة ولا يستقدمون

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan”.

Surah Al-A’raf: 34

Sudah tiba saat ajalnya. Sudah sampai masanya untuk Tok diambil. Aku redha. Semoga Allah menempatkan Tok di kalangan orang-orang soleh, para syuhada’ dan para nabi. Ameen.

Tok yang aku kenali.

Rasanya banyak juga memori dan kenangan manis bersama Tok. Sejak kecil lagi, aku agak rapat dengan Tok. Setiap kali balik ke kampung, aku akan tidur dengan Tok dan bersembang dengannya. Kalau nak balik KL semula, rasa sedih sangat sebab kena tinggalkan Tok di kampung.

Tok sangat penyayang dan lemah lembut orangnya. Tak pernah aku lihat Tok meninggikan suara atau memarahi cucu-cucunya. Yang pasti, Tok akan sentiasa memberi nasihat. Bila bersembang, sentiasa akan ada pesanan yang diselit-selitkan.

Masih ingat lagi ketika Tok ajarkan aku cara solat yang betul. Waktu itu, aku memang suka solat laju-laju. Biasalah budak-budak, nak cepat solat dan tak nak ketinggalan rancangan menarik. Rancangan menarik seperti Doraemon pula selalunya ditayangkan waktu maghrib. Waktu iklan, cepat-cepat sembahyang macam patuk ayam. Asalkan sembahyang cukuplah. Tak perasan pula Tok sedang memerhati dari jauh.

 Habis sahaja solat, Tok terus panggil. Tok tegur dan tanya kenapa solat laju-laju.

Tok kata, kalau solat kena perlahan-lahan, kena ada toma’ninah.

“Toma’ninah? Apa benda tu Tok?”

“Toma’ninah tu tenang. Bila rukuk dan sujud biar lama sikit. Jangan tergopoh-gapah, jangan cepat nak pergi main. Kalau sembahyang tenang-tenang barulah sempurna, Allah terima”.

Terima kasih kerana ajarkan aku Tok. Semoga setiap kali solatku sempurna, setiap kali itulah pahala mengalir kepadamu.

Tok rajin baca Al-Quran. Setiap malam sebelum tidur, Tok akan baca Surah Yasin dan surah-surah lain. Kalau cucu-cucunya tidur sekali, Tok akan menunggu cucu-cucunya tidur dahulu sambil baca Al-Quran. Bila kami bangun, Tok dah bangun dulu dan dah siap dalam telekung sambil baca Al-Quran. Tok selalu tanya kami mengaji Al-Quran dah banyak mana. Kehidupan Tok siang dan malam sentiasa dengan Al-Quran.

Semoga cahaya Al-Quran jadi syafaat dan sentiasa menerangi diri Tok di alam sana.

Tok sangat kuat berzikir. Setiap saat mulut Tok tak pernah lekang daripada zikir. Butir-butir tasbih dibawa ke mana-mana sahaja. Tok selalu ajarkan aku zikir. Tok kata kita kena selalu ingat Allah. Sebab Allah yang hidupkan kita, berikan nyawa pada kita, Allah juga yang beri rezeki pada kita. Bila nak suap makanan dalam mulut, jangan lupa baca bismillah, jangan lupa ingat Allah. Niatkan dalam hati kita makan supaya badan kuat untuk berdiri dan sembahyang. Bila dah makan dan kenyang, badan jadi kuat untuk beribadah pada Allah.

Sebelum tidur jangan lupa baca 3 Qul, baca doa tidur. Tok juga suruh banyakkan baca bismillah sebelum tidur. Kalau boleh baca sampai 40 kali.

“Tapi Tok, penat la nak baca sampai 40 kali, mata dah mengantuk. Kalau baca 20 kali boleh tak?”

Banyak karenah betul. Ada sahaja alasan nak mengelak. Tok selalu jawab,

“Boleh, asalkan ingat Allah”

Terima kasih Tok kerana ajarkanku zikir-zikir dan ingat Allah. Moga setiap kali aku ingat padaNya, setiap kali itulah pahala dikirim buatmu.

Bila nak sambut raya, Tok akan panggil aku untuk anyam ketupat palas. Tok wariskan cara menganyam ketupat palas yang betul-versi jantan namanya, bukan betina. Mama pun tak lepas-lepas lagi nak anyam ketupat palas jenis ni. Tapi tak tahulah sekarang ingat lagi tak cara nak menganyamnya. Kalau ingat pun mungkin dah tak nak menganyam sebab nanti teringat Tok.

Kadang-kadang bila duduk-duduk dengan Tok, aku selalu suruh Tok bercerita tentang zaman Jepun. Sebenarnya tak ada idea nak suruh cerita apa. Tok kata zaman Jepun kehidupan susah. Makan ubi kayu. Jahit baju pakai tali guni dan daun pisang. Orang Jepun kasaq. Depa paksa minum ayaq sabun, kata Tok. Sekarang dah aman. Dah merdeka, tak ada perang. Hidup senang. Bersyukurlah banyak-banyak. Bila makan jangan membazir.

Ada sahaja nasihat yang tak henti-henti meluncur keluar dari bibirnya.

Kali terakhir bercakap dengan Tok adalah sebelum terbang ke Mesir. Tok kata kalau dah tak sempat jumpa lagi lepas ni, doakan Tok banyak-banyak. Sebak sangat ketika itu. Tok suruh belajar sungguh-sungguh, mengaji rajin-rajin. Tok bangga dan gembira sangat bila dia tahu nak sambung belajar agama di Mesir. Tok kata, Mesir bumi berkat, dekat sangat dengan Mekah dan doa mesti mustajab. Tok dah tak ada kesempatan nak pergi Mekah lagi. Jadi jangan lupa doakan Tok bila di sana nanti.

Tok bukanlah orang terkenal, Tok bukanlah orang yang belajar tinggi-tinggi, Tok bukanlah sesiapa. Tetapi Tok adalah seorang nenek yang telah mendidik dengan penuh kelembutan dan nasihat agar keturunannya menjadi orang yang berguna. Banyak yang kami belajar daripadamu Tok..

Semoga rohmu damai dan tenang di alam sana bersama kenikmatan jiwa yang bersih bertemu Tuhannya.

يا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ  ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً  فَادْخُلِي فِي عِبَادِي  وَادْخُلِي جَنَّتي

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang”

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!”

“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia”

“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!”

Surah Al-Fajr: 27-30

.

Advertisement