Kereta kebal di jalanan.

Alhamdulillah, setelah sebulan lebih sedikit berada di tanah air, akhirnya dapat pulang semula ke bumi Mesir dan meneruskan pengajian seperti biasa. Seronok dan gembira rasanya bila dapat kembali dan melihat perubahan-perubahan negara ini selepas revolusi. Mudah-mudahan segala kebaikan akan berterusan.

Untuk mengetahui sedikit sebanyak perubahan yang berlaku di Mesir, boleh bacanya di sini. Klik 🙂

Ingin berkongsi catatan pengalaman melalui saat-saat genting (ye ke?) sepanjang tempoh evakuasi melalui Ops Piramid. Kenangan dan pengalaman hidup yang tak dapat dilupakan. Sebenarnya tak mencatat apa pun waktu itu. Bila sampai Malaysia, hanya menulis semula apa yang ingat.

Apa pun, sangat bersyukur atas segala perancangan Allah yang tidak disangka-sangka ini.

Artikel ini disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 3 Mac 2011, ruangan Nostalgia Varsiti. Terima kasih kepada wartawan Kak Khairina Yasin yang sudi menyiarkannya.

Selamat membaca.

p/s: Untuk pengetahuan, tajuk artikel ini bukan saya yang beri. Barangkali untuk memberi impak yang gempak kepada para pembaca. Biasalah, media kan ejen propaganda. Dan artikel ini adalah versi penuh sebelum diedit dan disiarkan.

Krisis di Mesir Menakutkan

Oleh: Nur Fatin Halil,

Pelajar Tahun Akhir Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah merangkap Timbalan Ketua Biro Media dan Penerangan, Ikatan Muslimin Malaysia Mesir (ISMA-Mesir).

Ketika ini, sebahagian besar rakyat Malaysia yang berada di Mesir telah selamat kembali ke tanah air ekoran krisis yang melanda negara itu. Jika diikutkan hati, ingin sahaja saya terus berada di sana dan tidak ketinggalan melihat sendiri di hadapan mata sebuah catatan sejarah dunia. Krisis, rusuhan dan demonstrasi kini telah bertukar menjadi sebuah revolusi.

Namun apakan daya, arahan daripada pihak kerajaan Malaysia supaya pulang perlu dipatuhi kerana soal keselamatan perlu diutamakan. Walaubagaimanapun, saya berasa bertuah kerana memiliki sebuah pengalaman yang tak dapat dilupakan sebagai seorang pelajar yang berhadapan dengan situasi genting tersebut.

Hari Polis menjadi Hari Kemarahan

Segalanya bermula pada tanggal 25 Januari 2011. Hari ini merupakan cuti umum rakyat Mesir sempena Hari Polis. Saya baru selesai menduduki peperiksaan semester pertama untuk pengajian tahun terakhir dan membuat pelbagai perancangan untuk memenuhi waktu lapang sempena cuti “winter-break”. Untuk hari ini, saya bercadang untuk keluar menziarahi kawan-kawan. Semuanya berjalan seperti biasa. Cuma jalanraya yang selalu sibuk agak lengang pada hari itu. Tapi, tidak hairanlah kerana rakyat Mesir selalunya lebih suka berehat di rumah pada awal pagi cuti-cuti begini. Namun agak pelik juga hingga ke petang kawasan rumah saya agak tenang dan sunyi tidak seperti biasa.

Malam itu saya membaca berita di internet. Alangkah terkejutnya apabila mendapat tahu bahawa kebanyakan rakyat Mesir telah berkumpul di Dataran Tahrir dan berlaku demonstasi besar-besaran di sana untuk menjatuhkan rejim Mubarak. Di tempat-tempat lain seperti Iskandariah dan Suez turut berlaku demonstrasi ini. Tidak lama kemudian, sahabat saya yang telah dihubungi pihak kedutaan Malaysia memberitahu supaya tidak keluar rumah jika tiada keperluan dan menjauhi kawasan-kawasan demonstrasi agar tidak terperangkap di sana. Saya membuka televisyen untuk mengetahui berita terkini. Benarlah apa yang diberitahu. Orang ramai memenuhi jalanan membuat protes. Demonstrasi dan rusuhan kemungkinan akan berlanjutan untuk hari-hari seterusnya. Cuti Hari Polis telah bertukar menjadi “ Hari Kemarahan”. Kebangkitan yang berlaku di Tunisia mungkin akan berlaku juga di Mesir. Saya dan rakan-rakan mula panik dan membayangkan apa yang bakal berlaku selepas ini. Adakah kami akan berhadapan dengan suasana perang?

Jumaat kebangkitan

Keesokan harinya, demonstrasi rupa-rupanya tidak sehebat semalam. Namun, saya mendapat tahu rakyat Mesir merancang untuk melaksanakan protes yang lebih hebat pada hari Jumaat ini. Saya melihat nama Masjid As-Salam, masjid di kawasan rumah saya tersenarai dalam masjid yang terlibat dengan demonstrasi. Tidak ketinggalan juga gereja-gereja. Semuanya berpakat untuk keluar beramai-ramai selepas Solat Jumaat.
Hari Jumaat tiba. Saya cuba mendapatkan maklumat daripada internet tentang apa yang berlaku pada hari ini tetapi semuanya sia-sia. Talian internet telah diputuskan. Begitu juga talian telefon dan perkhidmatan SMS. Saya dan rakan-rakan hanya berkurung di rumah tanpa mengetahui apa yang berlaku di luar sana. Kami terputus hubungan. Mujur masih ada maklumat dari televisyen dan radio. Kami mendapat tahu keadaan rusuhan semakin memburuk dan ramai yang terkorban. Perintah berkurung telah dikeluarkan dari jam 6 petang hingga 7 pagi keesokan harinya. Pastinya keluarga di Malaysia risaukan kami di sini tambahan lagi perhubungan semuanya disekat.

Banduan terlepas

Tambah membimbangkan, kami dikhabarkan bahawa terdapat balai polis yang dibakar dan banduan-banduan terlepas dari penjara. Mereka mula memasuki kawasan kejiranan dan melakukan rompakan. Para pemuda dan ahli tetangga berkawal untuk memastikan keselamatan. Mereka memakai ikatan putih di lengan supaya dapat mengenali antara satu sama lain. Para wanita hanya duduk di rumah. Saya mengunci semua pintu dan tingkap serta turut berjaga di dalam rumah supaya dapat bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku. Kira-kira jam 3 pagi, saya mendengar jeritan yang kuat di luar rumah. Bunyi bising orang saling kejar-mengejar kedengaran. Keesokan harinya saya mendapat tahu bahawa ada banduan yang melarikan diri dapat ditangkap oleh penduduk.

Talian telefon pulih

Setelah 3 hari, telefon telah boleh digunakan untuk membuat panggilan. Namun, perkhidmatan SMS dan internet masih belum ada. Saya mengambil peluang menelefon keluarga di Malaysia. Sememangnya mereka risau dengan apa yang berlaku. Mereka juga memberitahu supaya bersedia dengan kemungkinan dipindahkan ke negara-negara yang berdekatan oleh pihak kerajaan. Saya juga menelefon rakan-rakan yang berada di Sayeda Zainab, kawasan yang lebih hampir dengan Dataran Tahrir untuk mengetahui keadaan di sana. Rusuhan agak dahsyat dan dari balkoni rumah, mereka dapat melihat orang ramai dilepaskan gas pemedih mata dan tembak-menembak berlaku. Seorang rakan yang tinggal di Abasiyyah juga memberitahu bahawa kereta kebal telah keluar di jalan raya dengan jumlah yang banyak. Bermakna pihak tentera sudah mula mengawal keamanan.

Kehabisan bekalan makanan

Rusuhan semakin teruk kerana berlaku pertempuran antara kumpulan pro Mubarak dan orang ramai yang mahukan perubahan. Perintah bekurung ditingkatkan bermula dari jam 4 petang hingga 8 pagi keesokan harinya. Bekalan makanan di rumah pula semakin habis. Oleh itu, saya dan kawan-kawan bertekad untuk keluar mendapatkan bekalan. Semua pasaraya besar telah ditutup. Yang hanya dibuka kedai-kedai runcit di sekitar rumah. Orang ramai memenuhi kedai dan berebut-rebut membeli makanan. Banyak stok makanan telah habis. Begitu juga sayur-sayuran dan buah-buahan. Semuanya licin. Kad tambah nilai turut habis dijual. Bermakna kami perlu berjimat-cermat dalam membuat panggilan.

Seminggu kami berkurung di dalam rumah. Kami mendapat tahu yang tempoh perintah berkurung akan dilanjutkkan kepada sepanjang hari. Mujur kami telah mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Pihak kedutaan memberitahu supaya bersedia dengan dokumen penting dan beg pakaian yang tidak melebihi 7 kg. Borang maklumat diri dari kedutaan juga diedarkan kerana proses evakuasi akan dimulakan pada bila-bila masa. Keadaan semakin tidak selamat. Skala kecemasan telah bertukar warna oren.

Proses evakuasi bermula

Dalam tempoh berkurung, kami menunggu dengan penuh tanda tanya apakah yang bakal berlaku selepas ini. Akhirnya, pihak kedutaan mengeluarkan arahan untuk bersedia. Kumpulan pertama bergerak pada 3 Februari. Mereka yang berkeluarga dan wanita mengandung didahulukan. Dengan penuh kesabaran kami menunggu giliran masing-masing.

Setelah mendapat arahan, saya dan rakan-rakan berkumpul di Kompleks Malaysia Hayyu Asyir dan bergerak dengan menaiki bas secara konvoi ke Lapangan Terbang Kaherah. Sampai sahaja di lapangan terbang, rakyat Malaysia telah memenuhi segenap ruang hinggakan sebuah khemah khas dibina untuk dijadikan tempat menunggu. Alhamdulillah, setelah menunggu lagi di sana, kami mendapat boarding pass untuk menaiki pesawat ke Jeddah. Saya menaiki penerbangan Malaysian Airlines. Sebahagian rakan-rakan yang bertuah mendapat pengalaman baru menaiki pesawat TUDM.

Berkampung di Jeddah

Sampai sahaja di Jeddah, kami memperolehi visa selama seminggu. Saya difahamkan ini merupakan kali pertama kerajaan Arab Saudi memberikan visa semasa ketibaan dan tidak pernah berlaku lagi keadaan seperti ini. Kami kemudiannya dibawa ke Madinatul Hujjaj, penempatan transit jemaah haji Malaysia sebelum pulang ke tanah air. Kami diberikan bilik masing-masing dan keperluan asas seperti tuala, berus gigi dan pakaian. Maklumlah pelarian yang sehelai sepinggang. Di sana, kami tidak dibenarkan sama sekali keluar dari kawasan penempatan. Walaupun namanya pelarian namun kami tetap dihidangkan dengan makanan yang lazat dan mendapat layanan yang baik.

Untuk proses pulang ke tanah air, kami diminta mendaftarkan diri dan mengambil token giliran. Nombor giliran saya adalah yang ke-1487 dan bakal menaiki penerbangan KT 4. Saya masih perlu menunggu giliran untuk beberapa hari lagi. Sementara menunggu, saya membantu petugas-petugas di sana mendapatkan database terkini pelajar-pelajar yang baru tiba. Seronok rasanya apabila semua pelajar-pelajar Malaysia di Mesir berkumpul di sini. Saya dapat bertemu dengan mereka yang belajar di pelbagai bandar lain di Mesir seperti Iskandariah, Tanta, Mansurah dan Zaqazig. Sungguh meriah. Selain mendapat kenalan baru, saya dapat berkongsi pengalaman-pengalaman yang mereka lalui. Masa yang ada juga diisi dengan mengadakan tilawah Al-Quran sesama ahli bilik dan mendengar kuliah subuh setiap pagi.

Pulang ke tanah air

Akhirnya, giliran saya tiba. Saya menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines. Walaupun berlaku masalah kerana terkandas beberapa jam di Lapangan Terbang Jeddah, saya bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air dengan selamat. Kami disambut dengan penuh kesyukuran setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Saya berasa sungguh bertuah kerana mendapat pengalaman yang berharga dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara dalam proses evakuasi secara besar-besaran ini. Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan proses evakuasi ini. Saya juga sentiasa berdoa dan mengharapkan sebuah perubahan dan masa depan yang cerah buat Mesir. Semoga kami semua dapat pulang semula ke sana dan menyambung pengajian seperti sedia kala.

Pelajar Malaysia memenuhi Lapangan Terbang Kaherah

Pelajar Malaysia memenuhi Lapangan Terbang Kaherah

 

Mendengar taklimat sewaktu sampai di Madinatul Hujjaj, Jeddah

Mendengar taklimat sewaktu sampai di Madinatul Hujjaj, Jeddah

Bilik transit sebelum mendapat bilik masing-masing

Bilik transit sebelum mendapat bilik masing-masing

Klinik

Klinik Malaysia

Taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Suasana malam di bandar Jeddah

Suasana malam di bandar Jeddah

Al-Baik fast food restaurant. Belakang Madinatul Hujjaj. Dapatlah merasa juga.

Al-Baik fast food restaurant. Belakang Madinatul Hujjaj. Dapatlah merasa juga.

Pelajar-pelajar mengambil passport dan beratur untuk menaiki bas

Pelajar-pelajar mengambil passport dan beratur untuk menaiki bas

Lapangan Terbang Jeddah. Hampir 12 jam menunggu. Dan ada cerita disebaliknya

Lapangan Terbang Jeddah. Hampir 12 jam menunggu. Dan ada cerita disebaliknya.

Penulis sebelum menaiki pesawat pulang ke tanah air

Penulis sebelum menaiki pesawat pulang ke tanah air. (akhirnya gambar ini juga yang tersiar)

Advertisement