Senja 1432 H

Alhamdulillah, kembali menulis.

Selamat menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1432 H buat semua.

Tahun baru, semangat baru dan azam baru. InsyaAllah.

Setelah 3 bulan tidak menulis, akan cuba istiqamah selepas ini. Tak mahu berjanji. Tapi akan cuba. InsyaAllah.

+++

Saya ada tulis serangkap pantun untuk Maal Hijrah, pantunnya berbunyi begini:

Senja Zulhijjah berlalu pergi,
Fajar Muharram menyapa ramah,
Dengan keazaman dan semangat yang tinggi,
Kita melangkah membangun ummah.


Dibalas oleh abah:

Bangun dan melangkahlah ke dewan-dewan kuliah dulu anak-anakku

Jangan malas-malas dan jangan lupa bangunkan juga kawan-kawan

Ajak pergi sama seiring

Dengan itu barulah kita sama-sama bangunkan ummah


Insaf dan terkedu seketika.

Memang benar, cita-cita yang kita punya sangat besar. Nak membangunkan ummah. Tetapi sejauh mana kita membangunkan diri kita dahulu. Yang paling kecil, bangun dari selimut, solat malam, tidak tidur selepas subuh dan bergerak ke kuliah. Memang payah kalau tak gagah melawan nafsu.

Tambahan lagi dengan cuaca yang tak menentu sekarang. Angin ribut pasir yang menggila dan suhu yang sangat dingin di luar sana. Siapa yang dapat menghadapinya? Hanyalah orang-orang yang kuat dan dapat mujahadah melawan segalanya.

Kadang-kadang saya rasa tak mampu. Untuk perkara-perkara sekecil ini pun saya rasa tak kuat. Hanya berharap Allah memberi kekuatan untuk menghadapi segala kepayahan dan kesukaran.

Saya selalu berfikir. Kenapa kita perlu menghadapi semua ini?

Tak bolehkah kita hidup senang, tak perlu bersusah-payah dan relax-relax sahaja?

Jawapan yang selalu menenangkan saya:

Kerana rehat kita di syurga. Setelah berpenat-lelah di dunia, kita akan berehat di syurga. Rehat yang abadi dan selama-lamanya.

Dan peristiwa hijrah Rasul sendiri mengajar kita mengapa kesusahan perlu dihadapi dahulu.

Jika Allah ingin memberi kemenangan pada Rasulullah, boleh sahaja Allah memenangkan Islam sekelip mata tanpa perlu berlakunya peristiwa hijrah sendiri.

Tidak perlu Rasulullah dan para sahabat berhijrah meninggalkan kampung halaman yang dicintai, sanak-saudara dan harta benda yang disayangi.

Tidak perlu Saidina Ali mempertaruh nyawa saat beliau menggantikan Rasulullah di katil baginda.

Tidak perlu Rasulullah dan Saidina Abu Bakar berlari dan bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari untuk menyelamatkan diri dari kafir Quraisy.

Tidak perlu kesejukan, kelaparan dan kegelapan.

Tidak perlu adanya pengorbanan seorang wanita bernama Asma’ binti Abu Bakar yang sarat mengandung, memanjat gunung demi menghantar bekalan makanan pada sang ayah dan Rasul tercinta.

Tidak perlu Abu Bakar menahan pedihnya sakit saat digigit oleh kala jengking di dalam gua.

Tidak perlu segala rasa takut dan bimbang.

Tidak perlu segala kesusahan dan pengorbanan.

Tetapi Allah ingin mengajar kita bahawa Islam itu mahal harganya. Ianya telah diperjuangkan dengan segala kepayahan, kesusahan, pengorbanan, titisan air mata dan hinggakan ke titisan darah.

Jika tiada pahit getir dan pengorbanan Rasulullah, tidak mungkin risalah Islam akan sampai kepada kita.

Tidak mungkin hari ini kita dapat merasai nikmat Islam dan iman yang penuh dengan kemanisan.

Jika dibandingkan dengan kesusahan dan kepayahan yang kita hadapi hari ini, apalah sangat berbanding apa yang dihadapi Rasulullah.

Kita belum lagi berkorban dan berjuang dengan sebenar-benarnya.

Kita selalu merungut; “Bilalah Islam nak menang?”

Tapi sudah berapa banyakkah sumbangan, tenaga dan pengorbanan yang telah kita berikan untuk kemenangan Islam?

Yakinlah bahawa kemenangan umat ini adalah selepas melalui segala kesusahan.

Yakinlah kemenangan itu dekat.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah Al-Baqarah: 214)

Inginkan syurga? Inginkan kemenangan?

Buangkanlah selimutmu. Bangunlah, berkorbanlah, bersusah-payahlah. Kerana syurga mahal harganya. Dan di sanalah rehat kita yang selamanya.

muhasabah di pagi yang dingin.

 

p/s: hari ni pergi kuliah insyaAllah. Abah jangan risau tak pergi kuliah. Minggu ni minggu last sebelum study leave. 🙂

 

Advertisement