Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53.

Alhamdulillah, Allah memberi kita rasa merdeka yang sebenarnya masih banyak tanah-tanah lain belum merasainya, seperti tanah-tanah yang sepatutnya menjadi milik umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain lagi. Semoga Allah sentiasa mengekalkan kemerdekaan ini.

Walaupun hakikatnya negara kita belum lagi merdeka sepenuhnya dari kesan-kesan tinggalan penjajah, masih perlu patuh kepada undang-undang mereka, masih terikut-ikut dengan budaya dan cara hidup mereka, penuh dengan masalah sosial dan sebagainya. Namun yakinlah, suatu hari nanti, kita akan terlepas dari belenggu penjajahan yang masih belum berkesudahan ini. Dan kita akan memastikan negara kita merdeka sepenuhnya di atas nama Islam yang sebenarnya. InsyaAllah, dengan usaha kita.

Sangat bersyukur sebenarnya, tanggal 31 Ogos tahun ini jatuh dalam bulan Ramadhan. Di awal 10 malam terakhir pula. Tiada konsert-konsert yang tak tahu hala tujunya, pergaulan-pergaulan bebas yang memualkan serta tiada pesta-pesta yang penuh dengan kekusutan. Semuanya sebagai menghormati bulan Ramadhan.

Alangkah indahnya jika Ramadhan sepanjang tahun. Semua orang akan menghormati kemuliaannya. Tiada maksiat di sini sana. Semua orang takut untuk mencemarkan bulan mulia ini. Ah, tinggal beberapa hari lagi Ramadhan akan berlalu. Adakah manusia akan terus meninggalkan maksiat selepas Ramadhan atau sekadar menahan diri di bulan mulia ini?

Adakah kita telah memperoleh segala janji-janji Allah dan tawaran-tawaran istimewa di bulan ini? Bagaimana dengan rahmatNya dan keampunanNya? Adakah telah dikurniakan olehNya? Dan sepuluh malam terakhir ini, adakah kita telah merebut janji pelepasan dari api neraka, satu janji yang sangat agung. Dan merupakan kemerdekaan yang hakiki buat orang yang beramal soleh.

Kadangkala kita terlalu banyak berbicara tentang merdeka yang bersifat material di dunia dan terlupa akan merdeka yang sebenarnya di akhirat sana. Inilah merdeka yang kita damba-dambakan. Terlepas dari belenggu neraka yang menakutkan.

Ya Allah, kurniakanlah merdeka ini.

Tak lupa juga, satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Lailatul Qadr. Mari kita memburunya bersama.

Belum terlambat untuk merebut segala ganjaran. Masih berbaki beberapa hari lagi. Jom berusaha dan mujahadah!

اللهم بارك لنا في رمضان و بلغنا ليلة القدر

Advertisement