Pernah tak jatuh cinta?

Entahlah..susah juga nak jawab soalan ni. Sebabnya saya sendiri tak tahu bagaimana rasanya jatuh cinta. Mungkin pernah. Tapi tak tahu apakah benar perasaan itu adalah cinta.

Yang saya tahu, orang kata jatuh cinta tu rasa sayang, minat dan tertarik pada seorang. Bila dah rasa sayang, mulalah rindu dan teringatkan dia, selalu rasa nak jumpa dia. Kadang-kadang sampai doa kalau-kalau boleh terserempak dengan dia. Hati pun selalu rasa tak tenang, resah gelisah, sampai tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah. Wah, sampai begitu sekali! Hebatnya cinta. Lebih-lebih lagi pada mereka yang bernama remaja.

Ada yang mampu mengawal perasaan ini dan hanya menyimpannya menjadi rahsia sendiri. Ada yang tidak dapat mengawal dan mengambil tindakan yang bijak untuk meluahkan perasaan ini dengan jalan yang betul. Namun, amat menyedihkan bila ramai yang tidak mampu mengawal perasaan ini dan memilih jalan yang salah. Couple dan saling berhubungan antara Adam dan Hawa dah jadi kebiasaan. Tak ada siapa nampak benda tu salah. Mungkin mereka jahil. Tapi, golongan agamawan dan penghafal Al-Quran pun kadangkala terlibat sama. Memang payah dan susah memandu hati dan gejolak perasaan ini. Ramai yang hanyut. Illa man rahima rabbi. Kecuali yang dipilih untuk mendapat rahmat dariNya.

Mari doa sama-sama. Mudah-mudahan kita berada dalam golongan yang mendapat rahmat dariNya ini..

Tiba-tiba cakap pasal cinta. Selalunya orang yang bercakap tentang cinta ni memang sedang dilamun cinta. Betul ke? Memang betul pun rasanya.

Macam mana nak mula ya? Malu juga nak cakap pasal cinta-cinta ni. Begini, saya sendiri tak tahu kenapa perasaan ini selalu datang. Betul ke ini yang dikatakan cinta? Tengah buat apa pun, selalu sangat teringatkan dia, rindu pada dia dan selalu doa kalau boleh nak jumpa dengan dia.

Saya rasa memang dah sampai tahap tak boleh nak simpan lagi perasaan ni. Dan memang saya nak luahkan perasaan ini. Yang mungkin suatu perasaan yang bernama cinta. Biarlah semua orang tahu. Asalkan hati saya puas dan lega. Dan yang penting, saya yakin cinta yang saya alami ini, Allah redha. Sebab tu saya rasa nak bercerita.

Bermulalah kisah perkenalan saya dengannya sejak sekolah rendah lagi. Memang dah lama kenal dia. Nampak dia seorang lelaki yang baik dan berakhlak mulia. Siapa yang tak suka dengan lelaki yang baik kan? Tapi rasa suka dan minat padanya ini saya simpan sahaja. Lagipun, tak rapat sangat dengan dia dan tak dapat nak kenal lagi betul-betul hati budinya. Dan selalunya lebih banyak mendengar orang-orang bercerita tentangnya.

Bila masuk sekolah menengah pula, tak sangka dapat berkenalan dengannya. Kali ini lebih rapat lagi. Baru saya tahu dia seorang yang berjiwa lembut,penyayang dan menghormati perempuan. Pergaulan dia memang bagus. Tak kasar, tak mudah marah dan penyabar. Bertolak ansur, bertimbang rasa dan mudah memaafkan. Dan banyak lagi sebenarnya sifat-sifat diri dia yang membuat saya tertarik. Betullah orang kata. Kalau tak kenal maka tak cinta. Dulu tak kenal lagi. Tapi, bila dah kenal, saya rasa memang dah jatuh cinta padanya!

Perasaan itu saya simpan dalam sudut hati yang paling dalam. Simpan sorang-sorang. Tak cerita pada sesiapa pun.  Sebab saya pun tak pasti, kalau saya cintakan dia, adakah dia juga mencintai saya? Malulah kalau syok sendiri je. Tapi, saya yakin jika saya benar-benar cintakannya, Allah pasti akan tunjukkan jalanNya..

Mungkin inilah takdir. Akhir Julai 2007, Allah telah mengizinkan saya melanjutkan pelajaran di bumi Mesir. Dan di sinilah bermulanya kisah cinta yang sebenarnya..

Suatu pagi Jumaat yang hening, di dalam sebuah majlis yang penuh barakah. pertemuan yang indah dan penuh bermakna telah diaturkan. Kami dipertemukan oleh Ukhti Mardhiyyah Zamani dalam suasana yang penuh syahdu. Perasaan yang saya pendam sekian lama sememangnya bukan perasaan yang saya pendam sendirian. Menitis air mata saat Ukhti Mardhiyyah mengatakan lelaki yang selama ini saya cintai juga mencintai saya bahkan lebih dahulu telah melafazkan cintanya pada saya tanpa saya ketahui. Benarlah selama ini saya tidak bertepuk sebelah tangan. Cinta saya cinta yang berbalas. Sebuah cinta yang pasti..

Duhai siapakah gerangan lelaki yang menjadi pujaan hati ini?

Dialah Muhammad bin Abdullah. Seorang Rasul Allah. Dialah lelaki yang saya cintai. Dialah cinta yang saya rasai akhir-akhir ini. Terasa sangat dekat dengannya. Rindu padanya. Ingin bertemu dengannya. Dialah seorang Rasul yang telah melafazkan cinta kepada ummahnya. Dialah Rasul agung yang telah menjadi penunjuk jalan. Saya akan terus mengenalinya. Mencontohi kebaikannya. Menyambung perjuangannya. Dan menegakkan Islam sepertimana yang telah dilaksanakan baginda.

Ya Allah, aku ingin menjadi pendamping baginda di syurga nanti. Sesungguhnya seseorang itu akan ditempatkan bersama orang yang dicintainya di syurga. Maka, pilihlah aku Ya Allah. HambaMu yang telah mencintai Muhammad kekasihMu.

Alaihissoalatuwassalam. Ke atasnya selawat dan salam.

Dengan penuh cinta, di hari lahirmu Muhammad S. A.W.

12 Rabi’ul Awwal 1431 H.

P/S: Majlis penuh barakah di pagi Jumaat yang hening tersebut merupakan kelas sirah yang disampaikan oleh Ukhti Mardhiyyah. Buku ‘Ala Khutol Habib’ tulisan Amr Khaled yang dibentangkan dalam kelas sirah tersebut benar-benar telah menyentuh hati saya dan menemukan cinta saya pada kekasih Ar-Rahman Muhammad S.A.W

Sedikit iklan: Mari sama-sama menambahkan cinta pada Rasul kita, junjungan besar Muhammad S.A.W dalam kelas sirah ‘Ala Khutol Habib’ yang masih berlangsung sehingga kini, setiap hari Jumaat, jam 8.30 pagi di Bait Umar, Masakin Uthman. Memang sangat best! Tak sah kalau tak mengalir air mata 🙂

Wallahu a’lam

Advertisement