Baru-baru ini timbul isu yang menjadi perdebatan hangat di Malaysia. Tentang kebenaran yang diberikan kepada akhbar mingguan kristian “Herald” untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam akhbar dan apa sahaja penerbitannya. Majlis Fatwa sendiri tidak membenarkan penggunaan nama Allah bagi penganut kristian. Pihak NGO dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain juga berjuang untuk mempertahankan isu ini. Sultan Selangor sendiri telah bertitah agar semua  berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Sehingga semalam ada beberapa buah gereja yang telah dibakar tanda protes. Betapa hebat isu ini menggegarkan negara kita.

Namun, ramai yang masih tertanya-tanya adakah boleh orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah ini? Saya sendiri pun jadi terfikir-fikir boleh atau tidak..

Persoalan yang timbul dan pandangan saya:

  • Allah Tuhan semesta alam. Allah Tuhan kita semua. Tuhan orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan semua agama. Jadi, bolehlah semua agama menggunakan kalimah Allah. Tetapi adakah Allah yang mereka semua percaya adalah Allah, tuhan yang Esa, tuhan yang satu seperti kita orang-orang Islam percaya?

Bagi orang kristian, mereka mempercayai Nabi Isa (Jesus) sebagai anak Tuhan. Sebahagian Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa itulah Tuhan (Lord). Jika mereka boleh menggunakan nama Allah, maka selepas ini akan mereka mengatakan Allah pernah ditangkap dan disalib.  Kalau orang Hindu pula diberi keizinan untuk guna nama Allah, nanti mereka boleh suka-suka mengatakan Allah berupa lembu, beranak dan lain-lain lagi. Maha suci Allah daripada tuduhan-tuduhan ini. Untuk mengelakkan kekeliruan, seharusnya kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam untuk merujuk tuhan yang Maha Esa bukan yang selainNya.

  • Timbul juga isu di negara-negara lain, contohnya di Mesir, semua agama bebas menggunakan kalimah Allah dalam percakapan dan urusan seharian mereka. Memang benar. Orang-orang Kristian di sini (Mesir), guna perkataan Allah dalam percakapan contohnya Alhamdulillah, Insya Allah, Yalla (maksudnya ‘jom’) dan lain-lain.  Jadi apa salahnya kalau semua agama di Malaysia boleh menggunakannya juga.

Bagi saya, penggunaan kalimah Allah di Mesir sudah sebati dan menjadi darah daging mereka. Walau apa pun agama, mereka telah biasa menggunakannya kerana bertutur dalam bahasa Arab. Berbanding jika digunakan di Malaysia. Budaya kita tidak biasa berkongsi penggunaan nama Allah bagi semua agama. Agak pelik dan boleh menimbulkan kekeliruan. Jadi lebih baik dielakkan. Allah hanya untuk orang Islam.

  • Benarkah ia akan mengelirukan orang ramai dan membuka pintu kepada Kristianisasi anak-anak Melayu?

Boleh jadi bagi mereka yang cetek pengetahuan dan malas mengkaji. Tambahan pula anak-anak muda tidak ramai yang peka tentang isu ini. Namun begitu, jika berlaku peningkatan anak Melayu yang menjadi Kristian, itu pada dasarnya adalah petanda kegagalan kita dalam menanam ilmu dan menjalankan dakwah. Bukan hanya pada dasarnya kerana kekeliruan akibat penggunaan nama Allah oleh pendakwah Kristian. Oleh itu, kita harus menggiatkan kerja dan amal dalam menyampaikan kefahaman Islam yang jelas kepada masyarakat di Malaysia. Namun, hak penggunaan nama Allah ini harus terus dipertahankan kerana ianya sebahagian daripada usaha-usaha untuk memelihara agama Islam yang suci ini.

Tertarik dengan kata-kata yang dipetik di sini:

“Kita akan lebih menekankan soal memberi pendidikan kepada anak-anak kerana sekiranya isu ini berterusan, ianya akan memberi implikasi masa panjang pada generasi muda yang tidak mengerti apa-apa, apatah lagi pegangan serta akidah mereka ini longgar. Dakyah ini perlu dihentikan, mereka perlu berpegang pada perlembagaan dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini”

Sejauh manakah kita peka dan sensitif dalam melihat isu ini dan mempertahankan hak sebagai seorang Islam? Adakah kita hanya menjadi penonton atau bergerak menjadi pendokong?

و الله أعلم

~dan Allahlah yang lebih mengetahui~

Advertisement