21

Salam buat semua.

Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia sehingga hari ini. Masih boleh bernafas, masih boleh berjalan, belajar, bekerja, tersenyum dan tertawa seperti biasa. Tak sangka penderitaan yang dilalui tempoh hari berakhir juga..

Sekadar berkongsi rasa. Melalui siri-siri ujian dari Allah untuk menguji iman hambaNya.

Minggu lepas, Allah telah menarik nikmat kesihatan yang amat berharga. Tak pernah lagi mengalami kesakitan yang teruk sebegini. Seminggu penuh terlantar tak bermaya. Tak mampu berbuat apa-apa. Bermula hari pertama, dari jam 12 malam hingga 4 pagi, tak henti-henti muntah dan diarrhea. Paginya, minta tolong dibawa ke hospital kerana terlalu teruk. Rupa-rupanya ramai yang mengalami perkara yang sama juga. Doktor kata keracunan makanan. Kami mungkin makan benda yang sama. Apapun, benda dah berlaku. Allah kata jadi, jadilah. Apa pun yang dah dimakan hanya jadi sebab dan musababnya. Tak perlu nak salahkan sesiapa. Balik dari hospital, ambil ubat dan 2 suntikan. Tapi tak reda-reda juga. Masih terus muntah dan keluar masuk tandas. Perut kosong. Lapar. Tapi bila makan keluar semula. Dalam badan dah tak ada apa-apa. Muntah pun keluar air dan buih. Akhirnya, semua dibawa ke hospital semula petang tu. Dengan bantuan akhawat Medic Sayeda Zainab yang sihat-sihat belaka, semua dapat rawatan dengan baik. Terima kasih semua! Terharu sangat atas bantuan antunna. Penuh juga emergency room Hospital Rabaah masa tu. Doktor pun ada seorang je. Kelam kabut juga. Semua kena masuk sebotol air glukos dengan ubat. Selepas selesai, semua pulang ke rumah dan berehat. Ramai juga yang dah ok masa tu. Cuma si Fatin ni masih tak ok lagi. Kuman atau virus atau parasit yang ada dalam badan dia memang degil sangat! Muntah dah kurang Cuma yang masuk keluar tandas tu tak berhenti lagi. Sabar je yang jadi penawar masa tu.

Hari seterusnya. Perut dah kosong. Bekalan glukos yang masuk semalam dah habis. Kena makan juga. Tapi tak lalu. Bau makanan pun tak boleh. Tapi kena paksa makan. Lepas makan macam biasa keluar balik. Bakal-bakal doktor yang ada masa tu kata makan je. Kalau dia keluar balik pun tak apa. Maknanya dia nak keluarkan kuman dalam badan. Ok lah. Paksa juga makan. Tapi akhirnya bila makan buang, makan buang, tak ada apa pun yang tinggal dalam badan sebenarnya. Maghrib tu, lepas keluar tandas je, rasa dah tak berdaya. Mata berpinar-pinar. Masuk bilik je terjatuh. Separa sedar. Alhamdulillah tak pengsan sepenuhnya. Masih boleh bercakap lagi. Rasanya kena pergi hospital untuk masuk air lagi. Memang tak larat sangat. Dengan bantuan semua, dibawa ke hospital malam tu. Masuk sebotol glukos dengan ubat lagi. Doktor pun perasan orang yang sama datang. Doktor nasihatkan supaya tak makan nasi lagi lepas ni. Makanlah makarona (makaroni) macam dia. Apa-apalah doktor tu. Selepas selesai, rasa bertenaga semula. Dah boleh jalan macam biasa. Tapi tiba-tiba, mata jadi kejang! Bola mata terkeluar dan naik ke atas. Tak boleh nak turunkan semula. Takut sangat masa tu. Tak tau kenapa boleh jadi macam tu. Lari semula ke emergency. Tanya doktor ni disebabkan kesan ubat atau kenapa. Doktor tak boleh buat apa-apa. Dia suruh periksa di bahagian mata tingkat 3. Telefon Dr Battah minta tolong dia datang. Dr Battah senior kami di sini. Kalau dia ada, mudah sikit nak faham apa doktor tu kata nanti. Lepas dia datang je, terus bergegas ke tingkat 3. Ramainya orang masa tu. Tunggu giliran lama juga. Mata masih kejang lagi. Memang tak boleh nak turunkan. Kepala pun terdongak ke atas. Masa tu Allah je tahu apa yang rasa dan kecamuk dalam hati ni. Berserah je kalau Allah nak tarik nikmat mata yang Dia bagi ni. Tunggu-tunggu akhirnya boleh masuk. Takut sangat kalau doktor kata awak akan hilang penglihatan atau apa-apa yang akan dicakap nanti. Terbayang macam dalam drama-drama melayu pula. Tapi, nak tau apa yang jadi? Doktor tu dengan penuh ketenangan tengok je. Lepas periksa sikit-sikit dia kata tak ada apa-apa. Cuma psikologi je ni. Ha? Tak sampai 5 minit dah keluar. Dr Battah pun kata, tak apa, balik rumah dan rehat. Pelik juga. Sepanjang perjalanan balik tutup je mata dan berfikir apa yang berlaku sebenarnya. Tak faham.

Sampai rumah, mata masih kejang lagi. Macam orang yang nak mati, mata pandang ke atas dan kejang. Masa tu badan pun rasa lain macam. Tak boleh nak tidur. Rasa banyak benda asing kat keliling. Masa tu rasa tak berdaya sangat. Rasa macam Allah nak tarik nyawa pun ada. Terbayang amalan yang tak cukup lagi. Allah je tahu deritanya waktu tu. Semua dah takut tengok keadaan macam tu. Akhirnya, lepas dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran, rasa tenang sikit dan boleh tidur sampai pagi. Esoknya bila bangun, mata masih kejang lagi. Memang rasa tak sedap hati. Rasanya macam ada benda yang mengganggu. Sebab tu la doktor tak dapat nak explain kenapa. Akhirnya, minta orang pakar datang ubatkan. Memang ada makhluk yang tak dapat dilihat datang mengganggu bila kita lemah. Alhamdulillah, lepas diubatkan dengan kalam-kalam Allah, rasa tenang dan berdaya semula. Memang satu pengalaman yang baru. Tak pernah lagi melalui perkara sebegini. Memang Allah nak uji sejauh mana pergantungan hati dengan Dia. Sejauh mana berserah dah bertawakal padaNya.

Alhamdulillah, hari Isnin lepas sihat sepenuhnya. Dalam kegembiraan diberi kesihatan semula, ujian datang lagi. Dapat mesej dari adik. “Tok dah meninggal dunia. Al-Fatihah”. Ya Allah! Tak sangka sangat. Memang ajal boleh datang bila-bila masa. Ingatkan dapat jumpa dia beberapa bulan lagi. Memang ajal tak dapat dicepatkan atau ditangguh kehadirannya. Tak terasa air mata mengalir waktu tu. Tok dah tak ada. Tak sempat nak lihat wajahnya buat kali terakhir. Tak dapat nak tengok urusan jenazahnya. Hanya mampu berdoa dari jauh. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan para solihin.

Teringat kata-kata Tok, “mengaji di Mesir tu baik-baik. Doakan tok selalu. Sana dekat dengan Mekah. InsyaAllah doa makbul. Tok dah tak sempat nak pi sana dah. Kalau Atin dapat pi doalah banyak-banyak”.

Al-Baqaulillah..

Di hari kelahiran saya hari ini dan dalam menerima berita kematian nenek tersayang, saya merasakan inilah hadiah ulangtahun kelahiran saya yang cukup berharga, bukan yang paling malang. Kerana dapat merasakan dengan lebih mendalam akan pastinya dan dekatnya kematian itu. Semakin umur bertambah, semakin hampir kita ke saat itu. Bersedialah sentiasa..dan cukuplah kematian itu sebagai peringatan buat kita semua..

Doakan saya terus kuat dalam meneruskan liku-liku kehidupan ini..

Sampai bertemu lagi.

kek pertama dan terakhir buat tokKek pertama dan terakhir buat tok pada hari lahirnya yang ke 89 pada 4 April lalu. Tak pernah pun beli kek sebelum ni. Alhamdulillah, dapat meraikan dan menggembirakannya buat kali terakhir.

Advertisement