Lama tak menjengah ke ruang kecil ini..walaupun tak ada masa, tapi cuba juga mencuri masa antara celah-celah fatrah peperiksaan ni. Alhamdulillah..peperiksaan lisan yang begitu digeruni sebelum ni dah berlalu. 4 subjek semuanya. Usul Fiqh, Fiqh Perbandingan Mazhab, Fiqh Syafi’e dan Al-Quran. Semua dilalui dengan baik namun sebenarnya sangatlah mencabar. Mungkin bolehlah kalau nak ceritakan sikit-sikit tentang keadaan exam di sini..

Al-kisahnya peperiksaan di sebuah universiti bernama Al-Azhar. Bermula dengan menyelesaikan urusan kerneh (kad pelajar), saya telah menjadi salah seorang pelajar yang malang. Sejak exam fasa pertama lagi, saya tidak mempunyai kad ini. Bila diminta untuk exam fasa 2 ni, jawapan yang diberi sungguh menyayat hati. “Sanah gai”. Maksudnya, “sila ambil tahun depan”. Oh, sekarang dah tak main “bukroh” dah. “Bukroh” adalah perkataan yang biasa digunakan untuk menghalau supaya datang untuk berurusan pada esok hari. Sudah menjadi perkataan yang biasa berkumandang di Mesir..Baiklah, tahun depan pun tahun depan la..

“Tapi macamana saya nak masuk periksa nanti wahai ablah?”, saya memberanikan diri untuk bertanya. Ablah adalah panggilan untuk pekerja di situ. “Oh, kamu tak ada lagi kad yang semua orang dapat tu ke? Sila pergi ke bangunan Fakulti Kemanusiaan untuk urusan itu. Bissalamah..”

Aduh, dia malas nak uruskan kad tu la. Ok, mari cuba pergi bangunan tu pulak. Mana tau ada rezeki, boleh siap hari ni. Jumpa dengan penjaga bangunan tu..dia kata, “cuba pergi jumpa pak guard kat pintu utama sana. Tanya kat dia.” Ya Allah, apa pulak kaitan dengan pak guard ni..Pergi jugak walaupun macam pelik. Sampai je kat pak guard, dia suruh buat segala urusan di Syuun Tolibat iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Maksudnya, buat urusan pada ablah yang mula-mula sekali tadi. Sungguhlah terbazir masa yang sangat banyak. Pergi balik kat tempat mula-mula tadi, ablah tersebut sudah tiada. Dah pulang agaknya..

Baiklah..pendekkan sahaja cerita supaya ia tidak menjadi berjela-jela. Saya datang lagi pada esoknya dan esoknya dan esoknya lagi tapi semuanya sia-sia belaka. Ablah tak datang bekerja. Nampaknya saya perlu gunakan pasport untuk menghadiri peperiksaan. Apa boleh buat..Namun,selepas peperiksaan lisan yang ketiga, saya kuatkan semangat untuk berjumpa dengan ablah. Alhamdulillah beliau datang bekerja pada hari itu dan saya terus berjumpa dengannya sambil mengubah muka menjadi rupa yang mudah dikasihani. Sambil itu juga, doa supaya dilembutkan hatinya sentiasa bermain dilidah. Dengan izinnya, akhirnya ablah itu menguruskan juga kad saya. Mudah sahaja sebenarnya. Cuma menunggu ‘mood’nya yang baik pada hari itu..dan penantian untuk memiliki kerneh telah berakhir..

Ini baru kisah menguruskan kerneh atau kad pelajar. Belum kisah urusan visa dan lain-lain lagi. Ada seorang sahabat berulang-alik ke jawazat (tempat pengurusan visa) sehingga 6 kali. Semuanya memerlukan kesabaran yang tinggi. Sabar dalam menghadapi kerenah dan ragam manusia. Sabar menghadapi sistem di sini. Sabar dan tahan dengan pelbagai cabaran yang mungkin tak dapat dijangka. Jadi, kepada adik-adik atau rakan-rakan yang bakal terbang ke sini, bersiap-siaplah dari segi mental. Macam nak menakutkan pula. Insya Allah tak ada apa-apa pun. Ok je semuanya. Cuma bumi Mesir ini banyak mendidik kita untuk jadi kuat dan tak lembik. Penuh dengan adventure yang tersendiri..Nak tahu lagi macam mana keadaannya, kena datang dan rasai sendiri.

Berbalik kisah exam tadi..Setiap pagi sebelum bermulanya peperiksaan lisan, kami akan mencari dulu kelas yang betul untuk dimasuki. Bayangkanlah beratus-ratus manusia mencari nama masing-masing yang ditampal di papan kenyataan yang berbagai-bagai. Kadang-kadang rasa pening dan nak muntah dalam keadaan hiruk-pikuk begitu. Kemudian, setelah menjumpai nama masing-masing, pergi ke kelas yang ditentukan. Kadang-kadang ada kelas yang belum dibuka dan terpaksa beratur di luar kelas. Keadaan sangat sesak dan sungguh tidak selesa untuk mengulangkaji saat akhir pada waktu itu. Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah tawakal sepenuhnya dengan usaha-usaha yang dibuat sebelum ini.

Debaran menanti untuk memasuki bilik ujian lisan..Semuanya bergantung pada nasib dan rezeki masing-masing. Kami membayangkan soalan-soalan yang sangat susah akan diajukan. Namun, tidaklah sesusah yang disangka. Pensyarah banyak membantu dalam menjawab. Kadang-kadang daripada dua buku tebal yang dibaca, hanya satu soalan diajukan. Pensyarah hanya mahu melihat pengetahuan tentang subjek yang kita pelajari dan keyakinan dalam menjawab. Dalam subjek Fiqh Perbandingan Mazhab, saya menjawab hanya satu soalan yang diajukan dengan muka yang ‘confident’ (walaupun tak yakin dengan jawapan sebenarnya) dan mendapat markah penuh. Ini bukan riak, cuma nak kata rezeki mendapat pensyarah yang baik dan di sini banyak bergantung pada nasib dan rezeki masing-masing. Jadi, saya tergolong dalam golongan yang bernasib baik..

Namun, berbeza pula dengan subjek Al-Quran, nampaknya rezeki tak menyebelahi saya. Soalan yang diajukan sangat mudah. Tapi, Allah telah melupakan saya pada waktu itu dan tersalah menyambung ayat. Sudah semestinya markah saya telah berkurang dan harapan untuk mendapat markah penuh dalam subjek ini musnah sama sekali. Agak sedih sedikit pada hari itu namun keputusan sebenar belum lagi keluar. Ada masa yang banyak lagi untuk berusaha dalam subjek seterusnya. Dan banyak masa lagi untuk berdoa supaya Allah berikan imtiyaz yang diharapkan..

Sebenarnya banyak lagi yang nak dikongsikan di sini khususnya buat mereka yang nak sambung belajar dan nak tahu keadaan di Mesir. InsyaAllah, ada masa, saya kongsikan lagi cerita-cerita lain yang menarik. Mungkin nampak macam teruk je keadaan di sini dengan tak ada sistemnya dan lain-lain lagi. Tapi sebenarnya banyak nilai-nilai yang baik yang mungkin tak nampak secara zahirnya. Banyak nilai-nilai ilmu dan pengalaman berharga yang boleh dikutip di sini. Belum lagi cerita tentang kelembutan hati penduduknya, kezuhudan pensyarah Al-Azhar dan macam-macam lagi. Rasa seronok kalau dapat dikongsi. Namun, apakan daya..Banyak buku yang perlu di’rebus’ dan di’makan’ sekarang. Peperiksaan bertulis akan bermula tak lama lagi (esok sebenarnya)..InsyaAllah ada masa, saya menulis lagi.

 Hari-hari peperiksaan yang bakal dilalui oleh mahasiswi jurusan Syariah Tahun 1..

17/5-Al-Quran

21/5-Fiqh Perbandingan Mazhab

24/5-قاعة بحث أصول الفقه

28/5-Usul Fiqh

31/5-قاعة بحث الفقه

4/6-Fiqh Isu Semasa  

7/6-Tauhid

11/6-Fiqh Syafi’e

Doakan kami di sini dikurniakan..

Keberkatan pada waktu

Cahaya pada akal

Kebenaran pada azam

Kekuatan pada tujuan

Kejayaan di dunia

dan kejayaan di akhirat

wassalam

Advertisement