masa adalah kehidupanBismillah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memberi nikmat yang tak terhitung nilainya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Muhammad S.A.W yang hadirnya telah melimpahkan rahmat buat seluruh alam. Juga buat ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat serta mereka yang menyambung perjuangan baginda hingga kini.

Dengan izin dan kekuatan dariNya serta semangat dari abah yang sentiasa menyuruh untuk menulis jurnal perjalanan hidup juga sahabat-sahabat yang jadi sumber kekuatan..maka terwujudlah sebuah lagi blog dalam jutaan blog yang ada di alam maya ini. arahhidup nama diberi. Tiada apa yang istimewa pada nama. Cuma berharap moga yang menulis dan membaca akan terarah hidupnya. Bukan setakat berkongsi perjalanan hidup, tapi bersama pengajaran dan iktibar dari kehidupan itu sendiri. Selama ini hanya menjadi pembaca setia blog-blog orang lain. Jadi orang yang membaca, menerima dan menerima. Mungkin dah tiba masa untuk cuba menjadi orang yang memberi pula walau ilmu bukanlah setinggi mana..kata nabi, “sampaikanlah dariku walau sepotong ayat”. Ya, saya cuba menyahut seruan ini!

Sebenarnya kalau difikir-fikirkan, 24 jam dalam sehari sangat tidak mencukupi. Macam-macam perlu dibuat. Nak kata sibuk..memang sibuk pun. Belajar, dakwah, ikut tarbiyyah, membina diri termasuklah makan, minum dan tidur serta macam-macam lagi. Sekarang dah bertambah lagi tanggungjawab untuk mem’bela’ blog ni pula.Kerja dan tanggungjawab sememangnya sangatlah banyak..Benarlah apa yang Imam As-Syahid Hasan Al-Banna kata;

الواجبات اكثر من الأوقات

“Tanggungjawab lebih banyak dari masa yang ada”

 Jadi, kena rancang masa dengan betul. Bahagi dengan saksama supaya setiap yang berhak mendapat haknya. Aduh, susahnya menjadi perancang masa yang baik sebenarnya..

“IF YOU FAIL TO PLAN, YOU PLAN TO FAIL”

Kesibukan diri kita dalam seharian juga bergantung pada apa yang kita dah rancang. Seperti satu kata-kata yang pernah saya dengar zaman sekolah-sekolah dulu..

 همك على قدر ما أهمك 

“Kesibukan diri kamu bergantung pada apa yang kamu agendakan”

Cuba kita perhatikan hidup kita yang sibuk..benarkah ia sibuk dengan agenda yang besar? Seperti agenda untuk Islam dan ummah. Atau sekadar sibuk dengan urusan yang remeh-temeh, tiada berguna, tiada memberi manfaat pada diri dan orang di sekeliling kita. Jika begitu, jadilah kesibukan kita satu kesibukan yang sia-sia semata. Moga kita bukan dalam golongan yang sia-sia ini.

masa adalah kehidupan

الوقت والحياةmasa adalah kehidupan 

Mari kita kembara sebentar ke zaman Imam Nawawi (631H-676H). Kenal siapa Imam Nawawi? Kalau pernah membaca Riyadus Solihin atau Hadis 40 pasti kenal. Hidupnya begitu singkat. Dalam lingkungan 45 tahun sahaja. Tapi, bagaimana beliau boleh menghasilkan beribu-ribu karya penulisan yang tak sepadan dengan tempoh usianya yang pendek. Tentu sekali zaman kecil dan remajanya tak tersia-sia dengan agenda yang remeh. Dikatakan beliau tak berminat langsung untuk bermain dengan rakan-rakan seusianya bahkan sibuk menghafal Al-Quran sehingga khatam sebelum menjangkau usia baligh. Beza sungguh dengan kanak-kanak dan remaja zaman sekarang yang mungkin hari-hari menghadap tv, bermain computer games atau melepak di shopping complex.. Kehidupan sehariannya pula apabila meningkat dewasa dibahagikan kepada 3 iaitu untuk Allah, keluarga dan masyarakat. Menulis termasuk dalam sumbangannya pada masyarakat dan satu pertiga dalam sehari itu cukup untuk menghasilkan karya yang sangat banyak. Memanglah tiada masa untuk beliau tidur. Setiap malam menulis dan menulis. Kita? Baru buka buku sekejap dah terlelap..Oh, mungkin bukan kita. Saya sebenarnya..

Apa pun, mari mulakan azam unuk bersungguh-sungguh dalam setiap amalan. Seperti mana mafhum sabda baginda S.A.W;

ان الله يحب اذا عمل عملا أن يتقنه

“Sesungguhnya Allah menyukai amalan apabila ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh” 

Selamat berkunjung ke arahhidup. Semoga Allah beri kekuatan untuk meng’hidup‘kannya dengan bersungguh-sungguh dan berkongsi manfaat buat semua.

Seorang mukmin ibarat hujan,

Dimana turun memberi manfaaat,

Dengan bismillah saya mulakan,

Yang baik diambil, yang buruk minta dinasihat.

Sampai bertemu lagi..

Advertisement