Rindu untuk bertandang di rumahMu Ya Allah..

Kini kita berada di ambang sepuluh hari-hari awal Zulhijjah. Beberapa hari lagi kita bakal menyambut Aidiladha iaitu Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Sementara mereka yang berada di tanah suci pastinya sedang menumpukan ibadah haji di baitullah dan ibadat-ibadat khusus yang lain untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bagi mereka yang telah melaksanakan haji atau pernah melakukan umrah, tentu sekali menjadi rindu untuk kembali ke tanah haram tatkala mendengar laungan talbiah labbaikallah berkumandang di televisyen atau corong-corong radio. Dan bagi mereka yang belum pernah atau belum mampu menjejakkan kaki ke sana pastinya bercita-cita untuk hadir di rumah Allah yang mulia itu. Apapun, kita semua perlu memasang niat dan berusaha agar suatu hari nanti akan tiba jua di sana. Sementara mereka di tanah suci menambah pahala dan menggondol pelbagai ganjaran dari ibadah haji, kita yang tidak dapat melaksanakan ibadah ini juga masih berpeluang mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda seperti mereka di sana. Cuma masih ramai antara kita yang tidak tahu akan kelebihan dan ganjaran-ganjaran yang ditawarkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Antara hadis yang menyebut kelebihan hari-hari ini adalah:


مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهَا أَحَبُّ اِلَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ , يَعْنِى أَيَّامَ العَشْرِ . قَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ , وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيْلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الجِهَادُ فِى سَبِيْلِ اللهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَ مَالِهِ ثُمَّ لمَ ْيَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ (رواه الجماعة إلا مسلما و النسائى عن ابن عباس رضي الله عنهما)
Maksudnya: “Tiada suatu hari dimana seorang beramal soleh di dalamnya lebih disukai Allah daripada hari-hari ini, iaitu sepuluh hari awal bulan Zulhijjah”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah? Jawab Rasul: “Walaupun jihad di jalan Allah, kecuali jika seorang keluar dengan jiwanya dan membawa semua hartanya serta tidak kembali dengan apa-apa”

(Hadis riwayat Jama’ah kecuali Muslim dan Nasa’i dari sahabat Abdullah bin Abbas R.A).

Dr. Wahbah Zuhaili menjelaskan tentang hadis di atas dalam kitabnya Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu dan berkata: Lebih disukai pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sebelum tiba Hari Raya Aidiladha, untuk bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan kebajikan. Di antaranya zikir kepada Allah, puasa, infaq atau bersedekah dan amalan-amalan baik yang lain. Ini kerana hari-hari tersebut adalah afdhalul ayyam (hari-hari yang paling baik).

Ada suatu kisah yang terjadi pada seorang ulama terkenal Abdullah bin Mubarak. Pada suatu hari dalam musim haji, beliau melakukan tawaf di kaabah. Setelah selesai, Abdullah bin Mubarak tertidur. Dalam tidurnya dia bermimpi mendengarkan pembicaraan dua malaikat. Malaikat pertama mengatakan bahawa alangkah banyaknya orang yang menunaikan ibadah haji pada tahun itu. Malaikat kedua pula berkata alangkah ruginya kerana semua amal yang dilakukan oleh jemaah ini tidaklah sempurna dan tidak bernilai di hadapan Allah. Tetapi hanya dengan suatu amal yang dilakukan oleh seorang tukang kasut maka Allah menerima amal semua jemaah haji tahun itu. Setelah selesai melakukan ibadah haji, Abdullah bin Mubarak pergi mencari tukang kasut yang disebut malaikat dalam mimpinya. Setelah bertemu dengan tukang kasut tersebut, Abdullah bin Mubarak bertanya, apakah amalan yang telah dilakukan yang membuat Allah begitu menyukai dan menghargai amalan tersebut sehingga dapat menyempurnakan amalan dari jutaan jemaah haji waktu itu. Si tukang kasut menceritakan bahawa semenjak tiga puluh tiga tahun lalu dia mempunyai keinginan untuk melaksanakan ibadah haji. Untuk itu, setiap hari dia menabung dan setelah dihitung maka dirasakan cukup untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun itu. Beberapa hari sebelum berangkat untuk menunaikan haji, isterinya yang sedang hamil tercium bau masakan yang enak. Ternyata bau masakan tersebut datang dari arah rumah jiran. Oleh kerana isterinya begitu menginginkan dan kerana sayangnya melihat isteri yang sedang hamil maka si tukang kasut menemui jirannya untuk meminta sedikit bahagian dari masakan tersebut. Si jiran mengatakan bahawa demi Allah makanan ini tidak halal bagi keluarga kamu kerana yang dimasak adalah sisa bangkai binatang yang telah diperoleh. Si jiran terpaksa memasak bangkai binatang ini kerana sudah beberapa hari dia dan anaknya tidak makan. Demi menghentikan tangis anaknya dan demi mempertahankan hidup maka dia terpaksa memasak bangkai yang diperoleh tadi. Rasulullah pernah mengatakan bahawa dalam keadaan darurat, bangkai binatang dihalalkan untuk dimakan. Mendengar cerita dari jirannya ini si tukang kasut tersebut berlinang air matanya dan memohon ampun kepada Allah kerana telah lalai memberikan perhatian kepada jirannya. Lalu dia bergegas pulang mengambil semua tabungannya dan menyerahkan kepada jirannya. Dengan lembut dia berkata, “ambillah wang tabungan ini, inilah hajiku.” Begitulah amalan yang lahir dari seorang hamba Allah yang memiliki jiwa yang murni. Walaupun telah hilang peluang menuju ke Baitullah namun amalan yang telah dilakukan terhadap jirannya sangat disukai oleh Allah. Amalan tersebut membuat banyak amalan lainnya diterima. Bahkan membuatkan semua ibadah para jemaah haji ketika itu diterima Allah. Mengapa begitu tinggi penghargaan yang diberikan oleh Allah? Kerana inilah suatu amalan yang lahir dengan keikhlasan yang tinggi tanpa mengharapkan balasan apapun.

Mungkin masih belum tiba giliran dan belum sampai masanya untuk kita dipilih menjadi tetamu Allah. Namun, sepertimana kisah tadi, masih banyak peluang untuk merebut pahala dan menambah amal soleh yang terhampar di depan mata dan di sekeliling kita. Selamat beramal soleh di awal Zulhijjah!

Assalamualaikum semua!

Apa khabar iman dan kesihatan? Bertemu kembali setelah sekian lama tak menulis. Bukan tak ada masa. Masa sentiasa ada. Cuma tak dapat memperuntukkan dan memberi sedikit masa untuk menaip-naip ni. Harap-harap dapat terus tunaikan hak pada blog yang hampir terbiar ni (kesian dia..) dan terus menulis sebagai salah satu sumber saham di akhirat kelak!

Sekarang kami tengah bercuti. Cuti musim panas. Cuaca pastinya sangat panas sebab nama pun musim panas kan. Walau panas membahang dirasakan namun kehidupan di bumi Mesir ini sentiasa membahagiakan dan dipenuhi kegembiraan. Rasanya terlalu banyak benda yang nak cerita setelah tak update semenjak habis exam tempoh hari. Nak mula dari mana ye??

Okla, pertama sekali nak cerita apa yang bahagia sangat??  Tentu sekali rasa bahagia yang datang dari ketenangan dan kemanisan iman. Tak tau nak cerita macam mana bila dapat rasa manisnya iman tu. Seronok sangat bila kita dapat hidup bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang memahami Islam dan sentiasa meningkatkan iman serta membuat diri ini sentiasa dekat dengan Allah. Juga sentiasa ada sahabat yang mengingatkan bila kita terlupa dan terjauh dari landasan redha Allah. Seronoknya..lebih-lebih lagi dapat bersama-sama menikmati nikmat ukhuwwah yang lahir dari iman dan cinta kerana Allah. Seronoknya bila sama-sama dapat rasa nikmat tarbiyyah dan menyerahkan diri untuk memberi khidmat kepada agama. Seronoknya bila dapat merasai pahit manis bila sama-sama berjuang atas jalan dakwah. Seronoknya bila dapat kecapi nikmat iman dan ukhuwwah..Ya Allah, kekalkanlah nikmat-nikmat ini..

kasih sayang yang lahir dari iman
kasih sayang yang lahir dari iman

Bahagia dan bertuah juga dirasakan bila berpeluang untuk mengutip mutiara-mutiara berharga di bumi Anbiya ini. Mutiara-mutiaranya sememangnya sangat banyak dan bertaburan di sana-sini. Cuma mereka yang sentiasa berlumba-lumba dapat kutip semuanya. Tak sangka, dah 2 tahun jadi perantau bumi barakah. Tak tahulah banyak mana mutiara yang dah dikutip. Tak tahulah dah rebut banyak mana peluang untuk didik dan ubah diri ke arah yang lebih baik. Tak tahulah dah cukup ke ilmu dan kekuatan untuk berhadapan dengan masyarakat dan ummah. Penguasaan Bahasa Arab? Hafalan Al-Quran? Kena muhasabah balik bagaimana peningkatan selepas 2 tahun! Rasa banyak sangat yang kurang. Kalau tak cukup lagi, tak boleh balik Malaysia ni! Jangan marah tau abah. Rasa macam tak nak balik sebab takut terlepas banyak peluang nak belajar dan menimba ilmu di sini. Rugi sangat tengok kawan-kawan lain berlumba-lumba kejar ilmu..Tapi apa pun yang sebenarnya kat mana-mana pun kita boleh belajar. Yang penting merebut peluang yang ada. Guna masa sebaiknya. Kalau tak manfaatkan masa, duduk kat mana-mana pun sama je akhirnya..

Paling menarik, bila belajar di luar negara ni, dapat luaskan pandangan dengan mengembara dan berjalan ke sana-sini. Sepanjang cuti ni, alhamdulillah berpeluang ke Tanta dan Marsa Matruh. Disamping meluaskan saujana pandangan, dapat juga mentadabbur alam dan menjalinkan ukhuwwah. Tak dapat dilupakan kenangan berjaulah dan bermusafir bersama-sama..

hijau
kebun buah-buahan Tanta, rasa macam balik kampung

itik & angsa
itik & angsa pun ada.memang berada di desa.

anggur bergantungan
anggur bergantungan
epal
epal, boleh petik & makan terus

Marsa Matruh yang indah pula..

pantai Ageba
pantai Ageba
Hamam Cleopatra
Hamam Cleopatra

air yang sungguh jernih
airnya yang sungguh jernih
dari tempat penginapan
pemandangan dari tempat penginapan

*syukran kepada Ummu Aiman atas tajaan kameranya*

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka. ~Ali-Imran:190,191~

Tidak lupa juga nak berkongsi rasa gembira dengan kelahiran mujahid dan mujahidah kecil yang menambahkan lagi keceriaan kami di sini. Tahniah buat sahabat baik, Uswah Hasanah dan rakan sekuliah, Ukht Mahfudzah kerana telah menjadi seorang ibu muda! Seterusnya membuatkan kami rasa macam dah tua sangat. Apa taknya, rakan sebaya dah ada anak=) Tak dilupa juga buat Ukht Kauthar di Mansurah sana. Asifah sangat-sangat belum berkesempatan nak ziarah Sofiyyah dan umminya. Apapun,semoga sabar dalam mendidik dan membesarkan cahaya mata menjadi generasi penyambung risalah..

Yahya yang semakin membesar dan tembam dari hari ke hari..
Yahya yang semakin membesar dan tembam dari hari ke hari..
Ummu Yahya
Ummu Yahya selepas jadi ummi.masih seperti dulu.

Gambar baby lain tak ada la pula..

Dan yang terakhir, tumpang gembira atas kejayaan sahabat-sahabat perjuangan dalam peperiksaan. Alhamdulillah, setakat ini semuanya najah. Ucapan tahniah khusus buat Ukhta Harun dengan keputusan cemerlangnya iaitu Jayyid Jiddan. Bukan senang tu! Pastinya Allah kurniakan ganjaran setimpal dengan usaha gigih yang telah dilakukan. Doakan keputusan kami Syariah Tahun 2 yang belum kunjung tiba lagi ni. Tak tahu la kenapa lambat sangat nak keluar.. Mungkin Allah bagi masa untuk banyakkan lagi doa dan mempersiapkan diri untuk terima apa sahaja yang berlaku selepas ini.  Terus menunggu dalam debaran. Terus berharap dan berdoa. Doakan dan terus doakan!

mumtaz..mampukah?
mumtaz..mampukah?

Menghitung hari untuk pulang ke tanah air..Dalam berkemas-kemas, terjumpa satu nota kecil. Barangkali nota yang ditinggalkan oleh seorang ukhti di atas meja sebelum ni tapi tak perasan..

Ya Allah, permudahkanlah sahabatku ini menduduki peperiksaan duniaMu, jadikanlah debaran di jiwa disebabkan risau jika gagal melamar redhaMu, dengarilah rintihan hatinya yang sanggup bersusah-payah demi ilmuMu, terimalah air matanya sebagai penyejuk kemurkaanMu, belailah jiwanya di saat dia terkulai lemah agar terhindar dia dari mengharapkan selainMu..

Terima kasih atas doanya wahai ukhti… Hilang segala kerisauan dan kebimbangan bila teringat Allah yang sentiasa bersama dan mendengarkan doa kita. Kasih sayangNya tak bertepi. CintaNya selalu ada. Tak kira bila-bila masa.

Musim panas yang menyenangkan, meskipun melelahkan. Dalam segala musim, Tuhan selalu penyayang.

Itu yang aku rasakan.

~Kang Abik~

Wahai tuhan, kau satu cinta yang selama ini ku cari..


Salam Pengorbanan

Disember 13, 2008

Salam Aidiladha buat semua semua pembaca & khususnya buat pembaca setia [jika ada=)]. Semoga dengan berlalunya Aidiladha kali ini menjadikan kita semakin menghayati nilai pengorbanan itu sendiri. Setiap tahun diulang-ulang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim. Tapi berapa ramai antara kita yang menghayati ibrah & pengajaran dari kisah itu. Senang cakap di mulut untuk berkorban. Tapi nak melaksanakannya, belum tentu senang. Agaknya, sampai tak tahap pengorbanan kita macam pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim? Isy2, jauh..jauh. Mana taknya, nak berkorban lepaskan selimut untuk bangun tahajud pun tak boleh. Astaghfirullah..Muhasabah diri kita.

Sempena Aidiladha ini, kita hayati kisah-kisah pengorbanan yang sangat banyak. Terutamanya pengorbanan Rasululah yang sangat-sangat tak terbanding nilainya. Kalau tak, tiadalah nikmat iman & Islam yang kita rasa hari ini. Pengorbanan para sahabat menyampaikan Islam di segenap pelusuk dunia. Sehinggakan makam-makam para sahabat bukan hanya di Baqi’, tapi di merata tempat contohnya Saad bin Al-Waqqas di China dan lain-lain lagi. Para ilmuan Islam yang mewariskan ilmu sehingga hari ini. Para mujaddid juga para mujahid yang sedang mengorbankan harta dan nyawa sehingga hari ini demi meninggikan martabat Islam. Yang terdekat, pengorbanan ayah dan ibu kita sendiri yang membesarkan kita sejak dari kecil hingga sekarang. Tak tahu rasanya bagaimana nak membalas pengorbanan-pengorbanan mereka yang sangat banyak. Tidak lupa juga kisah-kisah pejuang ardhul ribat, Palestin yang sedang berjuang tidak henti mempertahankan tanah suci Islam dimana letaknya Masjid Al-Aqsa kiblat pertama kita yang mulia. Rasanya, boleh kita cari sendiri kisah-kisah ini untuk menyuburkan semangat kita. Juga menyedarkan kita bahawa kalaulah kita dah banyak sangat berkorban, sebenarnya ada insan-insan lain yang lebih banyak berkorban. Kalau kita berkorban menuntut ilmu jauh-jauh, tinggalkan keluarga yang dicintai, ada lagi orang yang bukan hanya berkorban, malah terkorban dan hilang ahli keluarga setiap hari. Kalau kita berkorban perasaan, rasa rindu pada mereka di tanah air, ada insan yang berkorban rasa rindu pada tanah air sendiri yang sedang dijajah. Sebenarnya, hanya sekelumit sahaja pengorbanan yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Sedikit sahaja. Bandingkanlah dengan mereka.

Sesi muhasabah, tanya pada diri, agaknya dah berapa banyak pengorbanan yang kita sumbangkan untuk Islam sejak dari kita mengucap syahadah? Dah berapa ramai orang yang masuk Islam kerana usaha kita? atau dah berapa ramai orang yang mendapat hidayah atas pengorbanan kita? Jawablah di dalam hati.. wallahu’alam

Maaf atas segala kekurangan. Doakan kami semua. Imtihan semakin hampir. 3 Januari. Hampir kan? Masing-masing dah mula sibuk dengan buku. Saya semakin panik & takut melihat semua sahabat-sahabat yang begitu mujahadah & bersungguh-sungguh dalam muraja’ah. Doakan saya begitu juga. Salam sayang buat semua. Salam juang & selamat berkorban (yang pastinya bukan terkorban!)