Salam..

Lama tak menulis jadi rindu pula..Alhamdulillah Allah selalu beri peluang dan pelbagai nikmat untuk teruskan kehidupan atas bumi ni. Hanya semangat yang kadang-kadang datang dan pergi buat kita rasa kuat atau lemah..Buat yang bernama semangat, datanglah selalu!!

Alhamdulillah dah 3 minggu berada semula di bumi perjuangan menimba ilmu setelah pulang ke tanah air menziarahi keluarga. Kalau ikutkan hati, rasa sayang sangat nak balik bercuti di Malaysia mengenangkan peluang menadah ilmu yang sangat banyak di bumi Mesir ni. Namun akhirnya pulang juga walau sebentar cuma. Abah kata, balik menziarahi keluarga pun salah satu dari proses pembelajaran. Kata abah, dengan balik Malaysia, kita dapat kumpulkan semula kekuatan dan semangat untuk teruskan belajar 2 tahun yang berbaki lagi. Iya la tu abah. Insya Allah anakmu ini akan semakin dan akan terus bersemangat meneruskan pembelajaran di sini.

Siapa yang tak gembira pulang bercuti di tanah air..Memang gembira dan seronok. Walau bagaimanapun banyak perkara yang perlu dimuhasabah semula. Bagaimana dengan masa yang telah digunakan sepanjang berada di Malaysia? Apakah sumbangan yang telah diberi kepada keluarga dan masyarakat? Adakah amanah-amanah dijalankan dengan sebaiknya?  Banyak sangat sebenarnya kekurangan diri yang perlu diperbaiki. Ya Allah, ampunkan segala kesilapan hambaMu. Banyak khilaf yang telah kulakukan..Banyak hak-hak pada saudara-saudaraku yang tidak tertunai..Astaghfirullah..Astaghfirullah..

Ibnu Qudamah pernah berkata:

“Muhasabah adalah kita melihat pada modal, keuntungan dan kerugian. Modal dalam agama adalah perkara-perkara fardhu, keuntungan adalah perkara-perkara sunat dan kerugian adalah maksiat”

Ya Allah, mudah-mudahan keuntungan yang kuperolehi bukan kerugian disebabkan maksiat-maksiat yang dilakukan akibat keterlanjuran..andai tiada keuntungan, biarlah mendapat pulangan modalnya..

~Duduk sebentar merenung diri dan beristighfar memohon keampunan~

Sampai jumpa lagi.

يا ذالجلال

طال شغالي

فأرح فؤادي

وارفق بحالي

“wahai tuhan pemilik keagungan

telah panjang waktu kesibukanku

maka rehatkanlah jiwaku

dan mudahkanlah segala urusanku”

~Ya Zaljali-Yahya Hawwa~

Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahu akbar..

Segala puji bagiNya..

Akhirnya berlalu juga kesibukan berjuang di medan peperiksaan

2 bulan lamanya.

Dapatlah berehat sebentar melepaskan lelah yang panjang

Masa memang terlalu pantas berlalu.

Sedar-sedar dah sampai di paper terakhir khamis minggu  lalu.

Tak sangka dapat melalui semuanya.

Dengan bantuan dan izinNya.

Alhamdulillah

Alhamdulillah

Kepada tuhan kudahulukan ucapan terima kasihku

Juga buat semua yang berada di sekelilingku

Yang sentiasa memberi dorongan dan perangsang

dalam menempuh hari-hari getir peperiksaan

Hanya Allah yang dapat membalas semuanya

Moga kejayaan menjadi milik kita bersama

InsyaAllah dengan izinNya

Yakinlah padaNya

agar dapat mengecapi kejayaan yang kita impikan

demi ummah ini

dan demi agama mulia ini

yang harus kita tinggikan kembali.

Allahuakbar walillahilhamd!

21

Salam buat semua.

Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia sehingga hari ini. Masih boleh bernafas, masih boleh berjalan, belajar, bekerja, tersenyum dan tertawa seperti biasa. Tak sangka penderitaan yang dilalui tempoh hari berakhir juga..

Sekadar berkongsi rasa. Melalui siri-siri ujian dari Allah untuk menguji iman hambaNya.

Minggu lepas, Allah telah menarik nikmat kesihatan yang amat berharga. Tak pernah lagi mengalami kesakitan yang teruk sebegini. Seminggu penuh terlantar tak bermaya. Tak mampu berbuat apa-apa. Bermula hari pertama, dari jam 12 malam hingga 4 pagi, tak henti-henti muntah dan diarrhea. Paginya, minta tolong dibawa ke hospital kerana terlalu teruk. Rupa-rupanya ramai yang mengalami perkara yang sama juga. Doktor kata keracunan makanan. Kami mungkin makan benda yang sama. Apapun, benda dah berlaku. Allah kata jadi, jadilah. Apa pun yang dah dimakan hanya jadi sebab dan musababnya. Tak perlu nak salahkan sesiapa. Balik dari hospital, ambil ubat dan 2 suntikan. Tapi tak reda-reda juga. Masih terus muntah dan keluar masuk tandas. Perut kosong. Lapar. Tapi bila makan keluar semula. Dalam badan dah tak ada apa-apa. Muntah pun keluar air dan buih. Akhirnya, semua dibawa ke hospital semula petang tu. Dengan bantuan akhawat Medic Sayeda Zainab yang sihat-sihat belaka, semua dapat rawatan dengan baik. Terima kasih semua! Terharu sangat atas bantuan antunna. Penuh juga emergency room Hospital Rabaah masa tu. Doktor pun ada seorang je. Kelam kabut juga. Semua kena masuk sebotol air glukos dengan ubat. Selepas selesai, semua pulang ke rumah dan berehat. Ramai juga yang dah ok masa tu. Cuma si Fatin ni masih tak ok lagi. Kuman atau virus atau parasit yang ada dalam badan dia memang degil sangat! Muntah dah kurang Cuma yang masuk keluar tandas tu tak berhenti lagi. Sabar je yang jadi penawar masa tu.

Hari seterusnya. Perut dah kosong. Bekalan glukos yang masuk semalam dah habis. Kena makan juga. Tapi tak lalu. Bau makanan pun tak boleh. Tapi kena paksa makan. Lepas makan macam biasa keluar balik. Bakal-bakal doktor yang ada masa tu kata makan je. Kalau dia keluar balik pun tak apa. Maknanya dia nak keluarkan kuman dalam badan. Ok lah. Paksa juga makan. Tapi akhirnya bila makan buang, makan buang, tak ada apa pun yang tinggal dalam badan sebenarnya. Maghrib tu, lepas keluar tandas je, rasa dah tak berdaya. Mata berpinar-pinar. Masuk bilik je terjatuh. Separa sedar. Alhamdulillah tak pengsan sepenuhnya. Masih boleh bercakap lagi. Rasanya kena pergi hospital untuk masuk air lagi. Memang tak larat sangat. Dengan bantuan semua, dibawa ke hospital malam tu. Masuk sebotol glukos dengan ubat lagi. Doktor pun perasan orang yang sama datang. Doktor nasihatkan supaya tak makan nasi lagi lepas ni. Makanlah makarona (makaroni) macam dia. Apa-apalah doktor tu. Selepas selesai, rasa bertenaga semula. Dah boleh jalan macam biasa. Tapi tiba-tiba, mata jadi kejang! Bola mata terkeluar dan naik ke atas. Tak boleh nak turunkan semula. Takut sangat masa tu. Tak tau kenapa boleh jadi macam tu. Lari semula ke emergency. Tanya doktor ni disebabkan kesan ubat atau kenapa. Doktor tak boleh buat apa-apa. Dia suruh periksa di bahagian mata tingkat 3. Telefon Dr Battah minta tolong dia datang. Dr Battah senior kami di sini. Kalau dia ada, mudah sikit nak faham apa doktor tu kata nanti. Lepas dia datang je, terus bergegas ke tingkat 3. Ramainya orang masa tu. Tunggu giliran lama juga. Mata masih kejang lagi. Memang tak boleh nak turunkan. Kepala pun terdongak ke atas. Masa tu Allah je tahu apa yang rasa dan kecamuk dalam hati ni. Berserah je kalau Allah nak tarik nikmat mata yang Dia bagi ni. Tunggu-tunggu akhirnya boleh masuk. Takut sangat kalau doktor kata awak akan hilang penglihatan atau apa-apa yang akan dicakap nanti. Terbayang macam dalam drama-drama melayu pula. Tapi, nak tau apa yang jadi? Doktor tu dengan penuh ketenangan tengok je. Lepas periksa sikit-sikit dia kata tak ada apa-apa. Cuma psikologi je ni. Ha? Tak sampai 5 minit dah keluar. Dr Battah pun kata, tak apa, balik rumah dan rehat. Pelik juga. Sepanjang perjalanan balik tutup je mata dan berfikir apa yang berlaku sebenarnya. Tak faham.

Sampai rumah, mata masih kejang lagi. Macam orang yang nak mati, mata pandang ke atas dan kejang. Masa tu badan pun rasa lain macam. Tak boleh nak tidur. Rasa banyak benda asing kat keliling. Masa tu rasa tak berdaya sangat. Rasa macam Allah nak tarik nyawa pun ada. Terbayang amalan yang tak cukup lagi. Allah je tahu deritanya waktu tu. Semua dah takut tengok keadaan macam tu. Akhirnya, lepas dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran, rasa tenang sikit dan boleh tidur sampai pagi. Esoknya bila bangun, mata masih kejang lagi. Memang rasa tak sedap hati. Rasanya macam ada benda yang mengganggu. Sebab tu la doktor tak dapat nak explain kenapa. Akhirnya, minta orang pakar datang ubatkan. Memang ada makhluk yang tak dapat dilihat datang mengganggu bila kita lemah. Alhamdulillah, lepas diubatkan dengan kalam-kalam Allah, rasa tenang dan berdaya semula. Memang satu pengalaman yang baru. Tak pernah lagi melalui perkara sebegini. Memang Allah nak uji sejauh mana pergantungan hati dengan Dia. Sejauh mana berserah dah bertawakal padaNya.

Alhamdulillah, hari Isnin lepas sihat sepenuhnya. Dalam kegembiraan diberi kesihatan semula, ujian datang lagi. Dapat mesej dari adik. “Tok dah meninggal dunia. Al-Fatihah”. Ya Allah! Tak sangka sangat. Memang ajal boleh datang bila-bila masa. Ingatkan dapat jumpa dia beberapa bulan lagi. Memang ajal tak dapat dicepatkan atau ditangguh kehadirannya. Tak terasa air mata mengalir waktu tu. Tok dah tak ada. Tak sempat nak lihat wajahnya buat kali terakhir. Tak dapat nak tengok urusan jenazahnya. Hanya mampu berdoa dari jauh. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan para solihin.

Teringat kata-kata Tok, “mengaji di Mesir tu baik-baik. Doakan tok selalu. Sana dekat dengan Mekah. InsyaAllah doa makbul. Tok dah tak sempat nak pi sana dah. Kalau Atin dapat pi doalah banyak-banyak”.

Al-Baqaulillah..

Di hari kelahiran saya hari ini dan dalam menerima berita kematian nenek tersayang, saya merasakan inilah hadiah ulangtahun kelahiran saya yang cukup berharga, bukan yang paling malang. Kerana dapat merasakan dengan lebih mendalam akan pastinya dan dekatnya kematian itu. Semakin umur bertambah, semakin hampir kita ke saat itu. Bersedialah sentiasa..dan cukuplah kematian itu sebagai peringatan buat kita semua..

Doakan saya terus kuat dalam meneruskan liku-liku kehidupan ini..

Sampai bertemu lagi.

kek pertama dan terakhir buat tokKek pertama dan terakhir buat tok pada hari lahirnya yang ke 89 pada 4 April lalu. Tak pernah pun beli kek sebelum ni. Alhamdulillah, dapat meraikan dan menggembirakannya buat kali terakhir.

spring is coming!

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk bernafas sehingga hari ini. Segala puji bagi Allah juga yang memberi kesempatan untuk menghidupkan blog ini kembali setelah sekian lama tidak disentuh. Bukan tak ada masa, cuma tidak memberi masa untuknya. Nak kata sibuk, memang sibuk pun. Mana ada dai’e tak sibuk! (ni kata-kata seorang sahabat saya yang saya sangat susah untuk bertemu dengannya). Dengan exam yang semakin hampir dan masih ada buku yang belum disentuh, memanglah benar yang tanggungjawab itu lebih lebih lebih banyak dari masa yang ada. Apapun, nikmat internet yang akhirnya kini sudah masuk ke rumah, insyaAllah saya akan cuba untuk mensyukuri nikmat ini dengan menggunakannya untuk kebaikan dan terus meningkatkan lagi amal dengan lebih proaktif. Terima kasih atas semangat dari semua yang berusaha menyuruh dan memaksa saya untuk terus menulis. Tidak kurang juga kutukan membina dari keluarga khususnya dari adik saya. InsyaAllah saya akan cuba memberi sedikit masa untuk berkongsi sesuatu yang memberi manfaat. Doakan saya kuat dan dapat terus bekerja untuk ISLAM!

“Jikalau kamu bertaubat, tapi selalu tergoda
dan kau lemah tidak kuat
taubat lagi hai pendosa
taubat diterima tuhan
kembali lagi kembali
sampai taubatmu bertahan
taubatlah berkali-kali”

-debu-

Untuk makluman, tajuk di atas diilhamkan dari blog seorang sahabat=)

Ujian Pertama

Februari 7, 2009

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(At-Taubah:24)

tak mampu

Beri aku kekuatan

Januari 15, 2009

Alhamdulillah masih diberi nikmat iman & Islam untuk meneruskan kehidupan..Mencuri-curi masa untuk menulis walaupun sedang melalui fatrah peperiksaan yang amat sukar. 4 subjek sahaja. Tapi sungguh menyeksakan. Baru habis 2 subjek. Menanti 2 lagi.  Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dahsyatnya melalui hari-hari ini. Sungguh derita. Namun, penderitaan yang sedang dialami ini pastinya tak seteruk dan sesukar saudara-saudara kita di Palestin sana. Ya Allah..kuatnya mereka. Diserang,dihentam,dibantai,dibunuh,diseksa dengan kejam oleh Yahudi yang menggila. Namun, terus bertahan dan bertahan dan bertahan. Kenapa aku tak boleh bertahan dengan ujian dunia yang sangat kecil ini..Kenapa aku tak boleh kuat seperti mereka?  Wahai saudaraku di sana..Kita terlalu hampir sebenarnya. Aku berharap dapat meraih biasan semangat juang kalian. Aku perlu melakukan yang terbaik untuk ummah ini. Aku takut tak dapat melakukannya. Maafkan aku. Aku sungguh lemah. Hanya mampu berdoa diberi kekuatan. Dan yakin serta berserah..Aku perlu bangkit semula. Ya Allah, lindungi aku dari putus asa. Beri aku kekuatan..

yang perlukan semangat semula.bantu saya

  

Salam Pengorbanan

Disember 13, 2008

Salam Aidiladha buat semua semua pembaca & khususnya buat pembaca setia [jika ada=)]. Semoga dengan berlalunya Aidiladha kali ini menjadikan kita semakin menghayati nilai pengorbanan itu sendiri. Setiap tahun diulang-ulang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim. Tapi berapa ramai antara kita yang menghayati ibrah & pengajaran dari kisah itu. Senang cakap di mulut untuk berkorban. Tapi nak melaksanakannya, belum tentu senang. Agaknya, sampai tak tahap pengorbanan kita macam pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim? Isy2, jauh..jauh. Mana taknya, nak berkorban lepaskan selimut untuk bangun tahajud pun tak boleh. Astaghfirullah..Muhasabah diri kita.

Sempena Aidiladha ini, kita hayati kisah-kisah pengorbanan yang sangat banyak. Terutamanya pengorbanan Rasululah yang sangat-sangat tak terbanding nilainya. Kalau tak, tiadalah nikmat iman & Islam yang kita rasa hari ini. Pengorbanan para sahabat menyampaikan Islam di segenap pelusuk dunia. Sehinggakan makam-makam para sahabat bukan hanya di Baqi’, tapi di merata tempat contohnya Saad bin Al-Waqqas di China dan lain-lain lagi. Para ilmuan Islam yang mewariskan ilmu sehingga hari ini. Para mujaddid juga para mujahid yang sedang mengorbankan harta dan nyawa sehingga hari ini demi meninggikan martabat Islam. Yang terdekat, pengorbanan ayah dan ibu kita sendiri yang membesarkan kita sejak dari kecil hingga sekarang. Tak tahu rasanya bagaimana nak membalas pengorbanan-pengorbanan mereka yang sangat banyak. Tidak lupa juga kisah-kisah pejuang ardhul ribat, Palestin yang sedang berjuang tidak henti mempertahankan tanah suci Islam dimana letaknya Masjid Al-Aqsa kiblat pertama kita yang mulia. Rasanya, boleh kita cari sendiri kisah-kisah ini untuk menyuburkan semangat kita. Juga menyedarkan kita bahawa kalaulah kita dah banyak sangat berkorban, sebenarnya ada insan-insan lain yang lebih banyak berkorban. Kalau kita berkorban menuntut ilmu jauh-jauh, tinggalkan keluarga yang dicintai, ada lagi orang yang bukan hanya berkorban, malah terkorban dan hilang ahli keluarga setiap hari. Kalau kita berkorban perasaan, rasa rindu pada mereka di tanah air, ada insan yang berkorban rasa rindu pada tanah air sendiri yang sedang dijajah. Sebenarnya, hanya sekelumit sahaja pengorbanan yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Sedikit sahaja. Bandingkanlah dengan mereka.

Sesi muhasabah, tanya pada diri, agaknya dah berapa banyak pengorbanan yang kita sumbangkan untuk Islam sejak dari kita mengucap syahadah? Dah berapa ramai orang yang masuk Islam kerana usaha kita? atau dah berapa ramai orang yang mendapat hidayah atas pengorbanan kita? Jawablah di dalam hati.. wallahu’alam

Maaf atas segala kekurangan. Doakan kami semua. Imtihan semakin hampir. 3 Januari. Hampir kan? Masing-masing dah mula sibuk dengan buku. Saya semakin panik & takut melihat semua sahabat-sahabat yang begitu mujahadah & bersungguh-sungguh dalam muraja’ah. Doakan saya begitu juga. Salam sayang buat semua. Salam juang & selamat berkorban (yang pastinya bukan terkorban!)

Azam Baru, Semangat Baru

November 24, 2008

Pengumuman hasil ujian itu akhirnya datang. Kampus Al-Azhar kembali menunjukkan wibawanya. Ribuan mahasiswa menangis bahagia kerana lulus. Tidak sedikit yang menangis sedih kerana tidak lulus dan kerananya harus mengulang di tingkat yang sama satu tahun. KCB 1

 

Bila teringat keputusan peperiksaan tahun lalu, hati jadi gerimis. Sedih. Tergamam. Nak menyalahkan semua orang. Kenapalah aku boleh tercampak kat universiti yang teruk macam ni. Dah la tak ada sistem! Astaghfirullah..sampai macam ni boleh terlintas. Menyalahkan universiti tertua yang telah melahirkan ribuan ulama..Hati bercampur baur marah dan sedih. Bukan mudah untuk menerima kegagalan.

 

“Sabar itu adalah pada saat pertama kita ditimpa musibah”

 

 Betul. Sepatutnya begitu. Ditimpa sahaja suatu musibah, terus sabar. Tapi apakan daya. Manusia pelupa. Walau tak dapat menerima pada mulanya, akhirnya sabarlah yang mejadi penawar segalanya..Pasti semua ada hikmah. Belajar untuk menerima. Berani untuk bangkit semula. Seorang mukmin tak akan jatuh ke lubang yang sama untuk kali kedua!

Muhasabah diri. Mungkin belum cukup usaha. Belum cukup tawakal, doa, mujahadah, qiam, berserah, baik sangka. Kurang amal. Cara belajar salah. Malas. Tak bertanya. Banyak bersuka ria. Akhirnya itulah natijahnya. Masih ada masa. Banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Berhenti menyalahkan semua. Perbaiki dari sekarang!

 

Nasihat, teguran dan bebelan buat diri..

  • Ingat kembali saat pertama menjejakkan kaki di bumi seribu menara ini. Semuanya kerana Allah. Untuk meninggikan kembali agamaNya. Demi abah dan mama yang ingin melihat anaknya berjaya. Demi ummah yang mengharapkan pulangnya seorang ulama yang merawat sakitnya dunia. Ingat, segalanya adalah amanah. Amanah yang akan dipersoalkan di kemudian hari. Belajar adalah amanah. Setiap langkah adalah amanah. Semua akan ditanya. Tiada agama bagi mereka yang tiada amanah. Takutnya. Amanahkah aku? Sudahkah tanggungjawab ini dilaksanakan?
  •  Seterusnya, buang karat-karat malas dalam diri. Disiplin! Tahu-tahu je la yang Azhar ni tak wajib datang kelas. Kedatangan tak diambil. Tambahan lagi dah nak masuk musim sejuk ni. Liat betul nak bangun dari katil. Rasa sentiasa nak bergumpal je dalam lihaf. Inilah virus yang paling bahaya khususnya bagi mahasiswa Azhar. Tak pergi kelas. Rasa dah pandai sangat. Nak dekat exam baru datang. Cari muqarrar. Kalau banyak yang malghi  lagi bagus. Tak payah nak baca banyak-banyak. Barangkali dah lupa title seorang penadah ilmu..Yang sepatutnya menadah ilmu ibarat si miskin yang menagih simpati dan belas kasihan. Ingat sikit diri tu siapa. Kalau ulama dulu sanggup mengembara beribu batu, bersusah payah semata-mata mencari satu hadis. Kita? Banyak betul alasan. Ala, kalau datang pun bukannya faham apa dia cakap. Dah la cakap bahasa ammi. Baik tak payah datang. Mengantuk pulak. Baik tidur kat rumah=( Datang je kuliah walau apa pun. Ada berkahnya insyaAllah..
  • Lepas buang malas, jadi rajin. Study sebelum masuk kelas supaya tak ternganga-nganga nanti. Datang kelas awal. Duduk depan sekali. Proaktif. Tanya kalau tak faham. Cari nota kawan arab. Dapat buku terus baca. Buat rujukan kalau tak faham. Tengok kamus. Cari maklumat tambahan kalau rajin. Memang kena rajin pun. Study group. Buat nota. Yang paling penting, JANGAN STUDY LAST MINUTE!! dan jangan target tinggi sangat. Nanti kalau jatuh, sakit. Nak target apa agaknya? Mumtaz tinggi sangat tak?? Isy..isy, tinggi sangat tu..

Akhir sekali, laksanakan segala yang telah dinasihatkan tadi dengan bersungguh-sungguh. InsyaAllah, Dia melihat apa yang kita usahakan. Kemudian berserah dan bertawakal..

Sekian sahaja bebelan untuk diri pada hari ini. Harap bersemangat semula untuk mengorak langkah. Jangan rasa lemah lagi. Telah berlalu waktu untuk tidur wahai diri. Sekarang masa untuk bangkit dan beramal. Ummah menanti kepulanganmu..

 Minta maaf jika tak bermanfaat untuk semua. Semuanya ditujukan buat diri sendiri yang selalu pelupa..

wallahu’alam

  hamba yang lemah iman lagi hina

Ya Allah, bantulah aku atas segala kelemahanku..

Ramadhan yang indah

September 22, 2008

Hayyu Asyir, Madinat Nasr, Kaherah, Mesir

Jalan raya penuh sesak. Hon kenderaan sahut menyahut. Fanus atau lampu tanglung di tepi-tepi jalan menambahkan kemeriahan. Seolah-olah ada pesta. Dari jauh kelihatan seorang ayah memimpin anaknya melintas jalan. Deretan manusia tak kira kecil, besar, tua dan muda berpusu-pusu menuju ke satu arah. Begitu juga aku bersama akhawat tercinta. Melangkah cepat ke destinasi dituju. Masjid As-Salam. Masjid kesayangan. Sepuluh malam terakhir Ramadhan begitu meriah di sini. Meriah tak terkira. Jauh bezanya dengan suasana di tanah air yang bila tiba akhir Ramadhan, meriah dengan lagu-lagu dan persediaan untuk berhari raya. Di sini sangat lain. Roh Ramadhan terasa. Masing-masing bersemangat untuk melipatgandakan ibadah di penghujung bulan mulia ini..

Saat melangkah ke ruang solat wanita, aku terus membaca doa masuk ke masjid dan berniat iktikaf. Kelihatan para jemaah telah siap berbaris lurus bersedia menghadap sang pencipta. Solat tarawikh telah bermula. Aku cepat-cepat menyertai mereka. Kedengaran bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan imam begitu menusuk kalbu. Ada kalanya bernada sayu. Tak terasa air mata mengalir perlahan. Betapa indahnya kalam tuhan. Tak dapat dibandingkan dengan indahnya puisi-puisi ciptaan manusia. Sampai di ayat azab, tangisan jadi bertambah deras dan dahsyat. Terasa diri begitu lemah dan hina. Tak mampu menanggung segala azab dan seksaNya. Ya Allah, terimalah segala amalanku, solatku, puasaku, qiamku, rukukku, sujudku dan taubatku. hanya kepadaMu aku memohon dan berserah. Sayup terdengar wanita tua di sebelahku teresak-esak menangis. Imam juga kadangkala berhenti sesaat dari bacaan untuk menahan esak tangisnya. Deretan manusia berbaris lurus dalam saf yang teratur menghadap ke arah yang sama semuanya hanyut dalam lautan cinta dan rindu pada sang pencipta. Tak kurang juga yang memegang mushaf dan khusyuk mentadabbur kalam Allah yang mulia. Rasa syahdu memenuhi segenap ruang jiwa.. 

Usai 4 rakaat tarawikh, imam berhenti rehat seketika dan tazkirah disampaikan. Sambil mendengar tazkirah yang kurang difahami kerana disampaikan dalam Bahasa Arab, aku gemar memerhatikan suasana sekeliling. Gelagat ibu-ibu arab yang menjaga anak-anak ketika solat kadangkala menggelikan hati. Ada yang mengacah-acah anak sambil bersolat, mendukung anak dan ada juga yang menghayun-hayun ‘baby coat’ sambil bersolat supaya anak kecilnya tak menangis dan mengganggu jemaah lain. Di sudut sebelah sana, mataku menangkap seorang gadis yang seusiaku sedang petah bercerita kepada sekelompok kanak-kanak. Setiap hari, aku perhatikan ada sahja yang dilakukan olehnya untuk mengelak kanak-kanak dari membuat bising sementara ibu-ibu mereka sedang bersolat. Bukan setakat mengelak mereka dari membuat bising bahkan dapat mengisi masa kosong mereka dari membuat benda-benda yang tak berfaedah. Adakalanya gadis itu mengajar cara menghafal quran. Kadangkala memberi satu hadis untuk mereka hafal dan ada juga kuiz yang menarik untuk mereka. Menarik dan kreatif kan? Rasanya tak pernah lagi aku jumpa orang-orang di masjid-masjid Malaysia buat sebegini. Daripada kanak-kanak memekak, buat bising dan lari ke sana ke mari dalam masjid, lebih baik buat aktiviti berfaedah. Kena bagi idea ni bila balik Malaysia nanti nampaknya=) Tiba-tiba ukhti di sebelahku mencuit bahuku. Rupa-rupanya imam dah mengangkat takbir untuk menyambung solat tarawikh. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran disambung lagi. Setiap malam, imam akan menghabiskan 1 juzuk bacaan atau lebih. Walaupun agak lama dan kaki terasa lenguh juga, namun tetap meneruskan ibadah yang hanya ada setahun sekali sahaja. Rugi kalau tinggal. Tambahan lagi, bulan Ramadahan penuh dengan gandaan pahala. Rasa terlepas banyak pahala kalau tak buat. Lagipun, fikir-fikir balik, Rasulullah yang dipelihara dari dosa dan dijanjikan syurga pun solat sampai bengkak-bengkak kaki untuk menunjukkan rasa syukurnya pada Allah, inikan aku yang punya dosa bertimbun-timbun dan tak tercatat pun sebagai yang layak untuk melangkah ke syurga..Malunya..

Alhamdulillah, kira-kira jam 10.00 malam, selesai ibadah tarawikh 8 rakaat beserta witir. Hari ini kami tak pulang ke rumah. Ibadah iktikaf akan disambung. Ada ukhti yang sudah mengambil tempat untuk melelapkan mata.  Ingatkan nak menyertai mereka namun mata tak terasa mengantuk pula.. Ku capai mushaf tercinta. Menyambung tilawah yang belum khatam-khatam jua. Malam ni malam ke 22. Baru sampai juzuk yang belas-belasan. Rasa takjub sangat dengan orang yang boleh khatam quran beberapa kali dalam Ramadhan. Kena tingkatkan tilawah lagi ni. Tak boleh tidur malam nampaknya. Namun, terlelap juga seketika akibat godaan ukhti yang kata, “nak tahajud kenalah tidur sekejap kan”. Baiklah, tidur pun ibadah juga kan=) Jam 12.30 malam, aku dikejutkan. Solat malam akan dimulakan.  Jemaah sudah memenuhi ruang. Tak sangka qiamullail pun begitu ramai. Setelah memperbaharui wudhu’, aku terus masuk ke dalam saf, bersama jemaah lain yang begitu khusyuk dan tawadhuk mengharap rahmat dan ampunan dariNya. Sedang aku, kadangkala dalam khusyuk dan tawadhuk ditambah dengan tersengguk-sengguk menahan mata yang mengantuk. Harapnya ada ganjaran tambahan disebabkan mujahadah keranaNya.. Selesai qiamullail, kami bersahur bersama-sama menikmati juadah yang beraneka macam. Tak perlu risau. Banyak mana makanan yang terhidang pun pasti habis sekelip mata tak kira sahur, berbuka, pagi, petang, siang atau malam. Selepas bersahur, kami menunggu azan Subuh dan bersolat bersama jemaah yang lain.  Dengan berakhirnya Solat Subuh, maka berakhirlah iktikaf pada malam tersebut.  InsyaAllah pemburuan lailatulqadar akan terus berlangsung dengan iktikaf pada malam-malam akhir Ramadhan yang masih berbaki ini..

Tetamu mulia Ramadhan seolah-olah sudah ingin meminta diri untuk pergi..Ya Allah, beri aku peluang untuk terus memberi layanan yang terbaik padanya sementara masa masih ada..

Allahumma ballighna lailatal qadr..

Nikmat Ibtila’

Ogos 20, 2008

“Bila engkau memandang segalanya dari tuhanmu,

yang menciptakan segalanya,

yang menimpakan ujian,

yang menjadikan sakit hatimu,

yang membuatkan keinginanmu terhalang

serta menyusahkan hidupmu,

pasti

akan damailah hatimu

kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia

bukan Allah tak tahu deritanya hidupmu,

retaknya hatimu

tapi mungkin itulah yang DIA mahu

kerana DIA tahu

hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah

untuk dekat dan akrab denganNYA”